
MALAYSIA masih mempunyai ruang dan peluang untuk mengurangkan kadar inflasi perubatan yang tinggi, antara yang tertinggi di Asia, menerusi pembaharuan di bawah inisiatif pembiayaan kesihatan RESET oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kadar inflasi perubatan di Malaysia kini berada pada 15 peratus berbanding purata serantau sebanyak 11 peratus, menurut data daripada Aon International Insurance Brokers.
“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan pembaharuan dan kerjasama yang tepat, isu ini dapat diatasi,” katanya ketika sesi panel bertajuk Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation pada Simposium Sasana 2025 di ibu negara pada Rabu.
Abdul Rasheed menjelaskan inisiatif tersebut bukan sekadar tindak balas terhadap peningkatan kos rawatan, malah merupakan satu tetapan semula ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih meluas, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti hospital, penyedia insurans, pengamal perubatan dan pesakit.
Beliau turut menegaskan laporan tahunan BNM sebelum ini telah menekankan isu inflasi yang tinggi serta keperluan melaksanakan pembaharuan.
“Pada Disember tahun lalu, kami telah memperkenalkan beberapa langkah baharu yang memberi ruang untuk menangani isu ini yang telah lama dihadapi. Dengan penglibatan Bank Dunia dan pelbagai entiti kerajaan, saya yakin pembaharuan kali ini akan dilaksanakan dengan berkesan,” ujar beliau.
Rangka kerja RESET berasaskan lima teras strategik dan disokong oleh 11 kumpulan kerja khusus.
Antara objektif utama inisiatif ini ialah mereka bentuk semula produk insurans kesihatan untuk menyokong perkhidmatan penjagaan kesihatan berasaskan nilai dengan lebih berkesan, meningkatkan ketersediaan alat bagi pengguna menilai dan memilih perlindungan yang sesuai, serta mempertingkatkan ketelusan harga terutama dalam prosedur, ubat-ubatan dan bayaran hospital.
Gabenor BNM itu menyatakan salah satu cabaran utama dihadapi pesakit ialah perbezaan kos rawatan yang ketara dan kekurangan ketelusan dalam harga sebenar.
“Usaha juga sedang dijalankan untuk mewujudkan pangkalan data penjagaan kesihatan negara dengan menggabungkan maklumat daripada hospital, syarikat insurans, Kementerian Kesihatan dan universiti bagi memantau kos serta hasil penjagaan kesihatan dengan lebih sistematik,” tambah beliau.
Abdul Rasheed turut menekankan kepentingan sistem kesihatan digital untuk memastikan kesinambungan penjagaan, contohnya keputusan diagnostik seperti X-ray yang dijalankan di klinik penjagaan primer harus boleh dipindahkan ke hospital bagi mengelakkan pertindihan yang tidak perlu serta mengurangkan kos.
Inisiatif RESET juga sedang berusaha melancarkan produk insurans kesihatan asas yang menawarkan perlindungan penting dengan harga mampu milik.
“Reka bentuk produk ini dijangka siap menjelang separuh kedua tahun ini, dengan ujian perintis disasarkan untuk dilaksanakan menjelang tahun hadapan. Kami berharap ujian perintis dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun 2026, iaitu sebelum tamat tempoh langkah interim sedia ada,” kata beliau.
Tambah Abdul Rasheed, matlamat RESET adalah untuk memastikan perlindungan kesihatan untuk semua, memperluas kemudahalihan insurans, serta memperkukuh perkhidmatan penjagaan primer dan pencegahan bagi meningkatkan hasil penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
“Kami mahu memastikan perlindungan untuk semua serta prestasi sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik, terutamanya di peringkat penjagaan primer dan pencegahan,” katanya.
Ujar beliau, pendigitalan sepenuhnya perkhidmatan adalah kunci bagi mengurangkan prosedur yang tidak perlu dan memaksimumkan keberkesanan perbelanjaan kesihatan.
Katanya, dengan pelaksanaan yang terselaras, inisiatif RESET dijangka membawa penambahbaikan yang sudah lama ditunggu-tunggu dalam akses, kemampuan dan prestasi sistem penjagaan kesihatan Malaysia.






