
KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komunikasi (JKOM), Datuk Ismail Yusop menyeru pembangkang supaya terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan MADANI demi kebaikan rakyat, walaupun wujud perbezaan politik.
“Kalau kita berjalan ke seluruh negara, kita boleh merasakan denyut hati rakyat di setiap negeri.
“Perbezaan politik wajar ada, tetapi ia tidak seharusnya menghalang usaha membawa kebaikan kepada rakyat,” katanya dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengimbangi belanja pembangunan dengan belanja mengurus, walaupun menghadapi kekangan bajet.
Pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk mengurangkan kos sara hidup termasuk bantuan awal persekolahan, pembangunan kemahiran digital, sokongan kepada usahawan muda dan latihan kecerdasan buatan (AI).
Beliau menjelaskan, polisi belanjawan bukan sekadar memberi bantuan, tetapi juga mengajar rakyat cara berdikari.
“Apabila rakyat bebas daripada kemiskinan, mereka dapat mengekalkan maruah dan harga diri tanpa bergantung kepada mana-mana parti politik,” katanya.
Ismail menegaskan, perbezaan pendapat politik dibenarkan, tetapi mestilah ada sempadan.
“Konfrontasi hanya merugikan rakyat. Fokus kepada kebaikan dahulu, perbezaan politik boleh dibincang kemudian,” ujarnya.
Beliau berharap semua pihak politik, sama ada pemerintah atau pembangkang, dapat bekerjasama bagi membawa manfaat lebih besar dan pembangunan negara yang mapan.







