
PUTRAJAYA – Bersatu sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap ucapan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mempertikai kewibawaan dan peranan Sultan Pahang melantik Perdana Menteri ke-10 ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti menyakini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu pihak berkuasa menyiasat isu tersebut.
“Pucuk pimpinan Bersatu sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Md Yassin semasa kempen di PRK Nenggiri pada malam 14 Ogos 2024 lalu.
“Bersatu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan PN bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada hari esok,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Hamzah menyeru setiap pemimpin serta akar umbi parti untuk tidak melatah sehingga mampu mewujudkan persepsi negatif kepada pembangkang.
“Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang negara,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang memaklumkan sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Ceramah oleh Presiden Bersatu itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.
Keceloparan Muhyiddin itu menyebabkan bukan sahaja pemimpin di kalangan kerajaan, malah setiap rakyat Malaysia khususnya rakyat Pahang kesal dengan tindakan pemimpin itu dan mengharapkan agar tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga menzahirkan kemurkaan dan terkilan terhadap ucapan Muhyiddin yang telah memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Baginda bertitah, kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.