Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

SEREMBAN – Kemelut membabitkan institusi adat di Negeri Sembilan semakin berlarutan apabila Datuk Mubarak Dohak kini diarahkan mengosongkan kediaman rasmi Balai Undang Luak Sungei Ujong serta-merta, selepas lebih 30 tahun menetap di kawasan itu.

Surat arahan pengosongan tersebut yang dipercayai dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan bertarikh 29 April dengan ditandatangani oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin mula tersebar pada Khamis.

Surat itu menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 17 April lalu.

“Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuat kuasa serta-merta.

“Di samping memastikan semua aset-aset kerajaan negeri yang didaftar di premis Balai Undang Luak Sungei Ujong hendaklah berada dalam keadaan baik bagi tujuan pemeriksaan semula kelak,” katanya.

Bagaimanapun Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim ketika dihubungi enggan mengesahkan arahan pengosongan itu.

“Saya tidak boleh memberi sebarang ulasan berhubung perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Difahamkan, kakitangan kerajaan negeri yang berkhidmat di balai undang tersebut turut diarah bertukar penempatan.

Dalam pada itu, wakil pejabat Undang Luak Sungei Ujong mengesahkan pihaknya telah menerima surat arahan pengosongan berkenaan, diserahkan oleh wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sekitar 4.50 petang tadi.

Menurutnya, perkara itu akan dirujuk kepada peguam bagi tindakan lanjut.

Semalam, suatu pertemuan di adakan di Balai Undang Luak Sungei Ujong melibatkan Mubarak; Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Baharudin Abdul Khalid.

Sementara itu, menurut Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri, Balai Undang Luak Sungei Ujong di Ampangan tidak lagi boleh diguna untuk adat istiadat berikutan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

Sehubungan itu, katanya, pihak termasuk mana-mana Pembesar Memerintah bagi Negeri semua Sembilan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa jua istiadat di premis berkenaan susulan sudah tiada kuasa mengikut adat dan perlembagaan

“Penggunaan Balai Undang Luak Sungei Ujong bagi tujuan adat istiadat hendaklah mendapat persetujuan Waris Klana menerusi kerapatan Waris Negeri di rumah Telaga Undang terlebih dahulu.

“Pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri Sembilan diminta bertindak tegas sekiranya ada adat istiadat di Balai Undang Luak Sungei Ujong tanpa kebenaran Telaga Undang,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana jelas beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Episod berkaitan institusi beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.

Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada 18 April pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.

Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.

Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3).

Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong.

Related Posts

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

MUKAH – Tahap pengetahuan kesihatan dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka benar-benar memahami risiko penyakit, termasuk cara pencegahan yang betul. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
11 penempatan setinggan berisiko kebakaran dikenal pasti di Kapayan

KOTA KINABALU – Sebanyak 11 penempatan setinggan berisiko tinggi kebakaran telah dikenal pasti di kawasan Kapayan. Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata, data itu adalah berdasarkan rekod…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Rakyat perlu faham istilah kesihatan, elak keliru penyakit

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

Mubarak diarah kosongkan Balai Luak Undang Sungei Ujong

11 penempatan setinggan berisiko kebakaran dikenal pasti di Kapayan

11 penempatan setinggan berisiko kebakaran dikenal pasti di Kapayan

Aktiviti domestik pemacu utama ekonomi Malaysia meskipun berdepan krisis global

Aktiviti domestik pemacu utama ekonomi Malaysia meskipun berdepan krisis global

Atlet muay thai Sabah, Emmabell Cassandra terima pengiktirafan atas kejayaan antarabangsa

Atlet muay thai Sabah, Emmabell Cassandra terima pengiktirafan atas kejayaan antarabangsa

10 aktivis Malaysia dalam misi GSF 2.0 ditahan tentera Zionis di perairan Greece

10 aktivis Malaysia dalam misi GSF 2.0 ditahan tentera Zionis di perairan Greece