
KOTA KINABALU – Sebanyak 11 penempatan setinggan berisiko tinggi kebakaran telah dikenal pasti di kawasan Kapayan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata, data itu adalah berdasarkan rekod Majlis Perbandaran Penampang (MPP).
“Penempatan ini terletak di lokasi seperti kawasan darat tepi parit serta kawasan berbukit.
“Kebanyakan penempatan ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, susun atur rumah yang rapat dan tidak terancang serta menggunakan bahan binaan yang mudah terbakar.
“Selain itu, terdapat kekangan dari segi akses laluan yang sempit dan terhad, yang boleh menjejaskan kelancaran operasi pasukan penyelamat dan bomba sekiranya berlaku kebakaran,” ujarnya semasa menjawab soalan ADUN Kapayan, Chin Tek Ming di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sabah yang ke-17, di sini pada Khamis.
Menurut Maijol, pihak MPP telah mengambil langkah pemantauan berterusan serta mengeluarkan notis di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan bangunan dan keselamatan.
“Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan langkah pencegahan, kawalan dan pelaksanaan tindakan susulan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi keselamatan penduduk serta mengurangkan risiko kejadian kebakaran di kawasan berkenaan.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat termasuk notis amaran, notis lanjutan dan tindakan perundangan ke atas pemilik-pemilik tanah,” tegasnya.



