
PUTRAJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya lebih arif tentang Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan dengan jelas bahawa Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata, partinya kesal dengan tindakan Muhyiddin yang mempertikai kewibawaan dan peranan Sultan Pahang melantik Perdana Menteri ke-10 ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menurut beliau, kenyataan Presiden Bersatu itu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini adalah biadab tidak bertanggungjawab yang boleh membawa kepada perpecahan kaum hanya demi kepentingan peribadi.
“Muhyiddin sendiri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sama sebagai Perdana Menteri ke lapan pada awal 2020 susulan peletakan jawatan pendahulunya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.
“Ini membuktikan beliau dilihat tidak matang dalam berbicara dan terperangkap dengan masa silam. Sudahlah, masa lalu biarlah berlalu dan kini masa untuk kita semua bergerak ke hadapan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Dalam pada itu, Siew Mun berkata,
Pemuda MCA Pahang yakin polis akan menyiasat dengan pantas dan tegas berhubung ucapan Muhyiddin yang dilihat telah menyentuh isu (3R) iaitu kaum, agama dan raja, termasuk penderhakaan terhadap raja.
“Pemuda MCA Pahang yakin undang-undang sedia ada di negara ini tidak memilih bulu dan sesiapa sahaja yang didapati bersalah pasti dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd Shariff menegaskan perilaku Muhyddin menggambarkan wajah sebenar pembangkang, yang hanya memikirkan tampuk kuasa sehingga hilang rasa hormat dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Menurut beliau, keceloparan itu membangkitkan persoalan sejauhmana keikhlasan Muhyiddin dan pemimpin PN
mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, yang selama ini kononnya menjadi wadah perjuangan gabungan tersebut.
“Perilaku ini telah mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang dan hal ini disifatkan sebagai suatu perilaku yang tidak menjunjung prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
“PKR Pulau Pinang sangat kesal memandangkan Muhyiddin bukan sahaja merupakan ahli politik yang sudah lama berada dalam landskap politik negara, bahkan pernah juga menyandang jawatan Perdana Menteri, yang sememangnya sangat berhubung rapat dengan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, Abdul Mohsein berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap ‘Sang Durhaka’ itu di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Bandar Perda, Pulau Pinang pada jam 8.30 malam ini.
“PKR Pulau Pinang akan terus komited untuk mempertahankan institusi Raja dan tidak akan berdiam diri bagi memastikan institusi ini terus dihormati dan ditaati,” katanya.
Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ucapan Pengerusi PN itu memaklumkan sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
Ceramah oleh Presiden Bersatu itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.