Oleh: Haamni, Fandi
KOTA KINABALU – Meskipun rata-rata rakyat Sabah menyuarakan mengenai kos sara hidup dan bantuan, keperluan akses pembangunan teknologi komunikasi yang mantap juga antara harapan utama mereka di sebalik tinjauan Belanjawan 2025.
Menurut graduan Doktor Falsafah (PhD) dari universiti awam tempatan, Yusri Sulaiman, 29, keperluan akses capaian dan jaringan komunikasi amat penting terutama bagi luar bandar termasuk kawasan pedalaman di Sabah.
Justeru itu, menjadi harapan Yusri agar pihak kerajaan memperbanyakkan inisiatif untuk meningkatkan jaringan komunikasi di kawasan luar bandar agar tiada golongan yang tercicir.
”Jika dibandingkan dengan negara luar capaian internet mereka lebih laju manakala kita di sini masih ada tempat yang tiada talian telefon apatah lagi capaian internet.
”Lebih-lebih sekarang memang susah jika tiada capaian internet kerana kini semua guna perkhidmatan digital.
”Contoh perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini menggunakan lesen digital, ambil nombor giliran di pejabat guna aplikasi digital termasuk ketika membuat transaksi pembayaran.
”Sekarang adalah revolusi IT yang banyak menggunakan jaringan peranti tanpa wayar dan bukan itu saja kita juga sedang ke arah pendigitalan untuk menghadapi perubahan teknologi dan keperluan kini.
”Oleh itu, amatlah baik jika kerajaan boleh lebih memfokuskan kepada usaha bagi menyokong pembangunan ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya kerajaan juga perlu buat pertimbangan sasaran bantuan sewajarnya kepada rakyat mengikut kelayakan dan bersesuaian dengan keperluan mereka di masa ini.
Bagi Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Pekan Batu Sapi, Sandakan, Dayang Nurashikin Nonoi, 26, juga berharap agar ada peningkatan capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman melalui pembangunan rangkaian fiber optik.
“Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan akses maklumat dan pendidikan di kawasan yang kurang terlayani.
“Saya berharap inisiatif pemberian peranti seperti komputer atau tablet kepada komuniti dapat menyokong pendidikan dan jaringan sosial,” katanya.
Beliau juga menyeru agar infrastruktur Nadi diperluas untuk menjadi ruang yang lebih kondusif bagi memudahkan jaringan sosial yang berpanjangan antara Nadi, komuniti, serta agensi kerajaan dan swasta.
“Dengan ruang yang lebih besar dan selesa, kami dapat melaksanakan program kesedaran yang lebih berkesan dan memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat.
”Hal ini dapat menarik minat masyarakat untuk menggunakan Nadi sebagai pusat sehenti untuk pembelajaran sepanjang hayat,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia berharap agar kerajaan mempertimbangkan penambahbaikan dalam aspek penjawatan untuk seluruh pekerja Nadi di Malaysia.
Pada masa sama, Dayang turut rasa bersyukur atas kenaikan gaji sebanyak RM500 yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetapi juga mengharapkan agar ada penambahbaikan dalam penjawatan.
Menyedari peranan penting Nadi dalam kolaborasi dengan agensi dan jabatan kerajaan, beliau berharap kakitangan dapat diserap sebagai penjawat awam.
“Kami berharap kerajaan dapat memberikan jawatan berstatus kontrak kepada semua pekerja Nadi.
“Mereka yang sudah berkhidmat lama perlu diiktiraf dari segi penjawatan. Kami berharap kerajaan dapat memberi input yang positif untuk meningkatkan taraf penjawatan di Nadi yang merupakan projek penting di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” tambahnya.
Manakala bagi peniaga kerepek dan kekacang, Rahini Oyoh, 52, kos sara hidup adalah menjadi kerisauan, katanya yang perlu ada inisiatif kurangkan kos sara hidup oleh pihak kerajaan dalam pembentangan bajet kali ini.
“Peniaga seperti kami tiada pendapatan tetap, kami juga tidak bergaji, oleh itu apa yang paling penting bagi kami adalah kos sara hidup termasuk harga barang yang semakin meningkat perlu dikurangkan.
“Kami terpaksa bertahan dengan harga barang yang mahal atau tingkatkan harga jualan, yang menyebabkan permintaan daripada pelanggan semakin berkurang.
“Ramai peniaga kecil terpaksa bergantung kepada simpanan kewangan sendiri untuk kekal bertahan dalam perniagaan dan menyara kehidupan. Jika kerajaan mengambil langkah bijak untuk semua golongan maka kami akan lebih lega dan kurang terbeban,” katanya.
Mengakui perkara sama, seorang guru, Rafitah Yusof, 29, katanya walaupun ada kenaikan gaji sektor kerajaan tetapi menangani kos sara hidup yang meningkat adalah lebih penting.
“Beban kos sara hidup perlu dikurangkan kerana bukan semua orang menikmati kenaikan gaji.
“Harus difikirkan juga oleh pihak kerajaan, tanggungan atau komitmen kewangan rakyat masa ini adalah sangat tinggi dan itu tentu akan mempengaruhi perbelanjaan hidup bagi setiap orang,” kongsinya.







