
KOTA KINABALU – Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) menegaskan semua tindakan penguatkuasaan yang diambil dalam kes kebajikan haiwan adalah berdasarkan aduan rasmi serta dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur sedia ada.
DVS Sabah dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pihaknya merujuk kepada hantaran Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Roger Chin pada 8 Mei lalu berhubung tindakan penguatkuasaan dalam satu kes kebajikan haiwan.
Menurut kenyataan itu, setiap tindakan diambil selaras dengan Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan jabatan mempunyai tanggungjawab statutori untuk menyiasat setiap aduan yang diterima bagi memastikan kebajikan haiwan sentiasa terpelihara.
“Pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan berdasarkan maklumat dan keterangan yang dikemukakan pengadu serta saksi mengikut prosedur perundangan yang ditetapkan.
“Dalam kes tertentu, Pegawai Veterinar tidak semestinya terbabit secara langsung dalam tindakan penguatkuasaan, namun boleh dipanggil sebagai saksi pakar untuk memberikan penilaian klinikal dan konteks perubatan,” menurut kenyataan itu.

DVS Sabah turut menjelaskan isu lawatan berulang oleh pihak penguat kuasa boleh berlaku disebabkan aduan berulang atau pelbagai aduan yang diterima dalam sistem, sekali gus memerlukan tindakan susulan serta verifikasi di lapangan.
Menurut jabatan itu lagi, pihak penguat kuasa juga lazimnya akan memaklumkan kepada individu yang diadu mengenai peruntukan undang-undang serta implikasi sekiranya berlaku ketidakpatuhan, termasuk kemungkinan tindakan perundangan.
“DVS Sabah mengakui terdapat pihak yang melihat situasi itu sebagai pendekatan penguatkuasaan yang berat, khususnya dalam keadaan sensitif membabitkan haiwan yang sakit tenat.
“Dalam keadaan sebegini, komunikasi yang jelas, panduan bersesuaian serta penglibatan input veterinar tepat pada masanya amat penting bagi memastikan pengurusan kes yang seimbang,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu eutanasia, DVS Sabah berkata, sebarang keputusan yang disokong pengamal veterinar bertauliah dan dipersetujui pemilik haiwan lazimnya dibuat demi kepentingan terbaik haiwan berkenaan berdasarkan keadaan klinikal serta aspek kebajikannya.
Menurut kenyataan tersebut, DVS Sabah memandang serius setiap kebimbangan awam yang dibangkitkan.
“Walaupun tindakan diambil selaras dengan undang-undang, kami mengakui kepentingan mengimbangi penguatkuasaan dengan komunikasi yang jelas serta input veterinar yang bersesuaian.
“DVS Sabah komited memastikan pendekatan yang profesional, adil dan berperikemanusiaan dalam setiap kes,” katanya.
Jelasnya lagi, DVS Sabah sentiasa terbuka menerima maklum balas konstruktif bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.







