KUCHING – Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) memperkenalkan tiga mesin layan diri di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) – Inisiatif Usahawan Makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni yakin terhadap kejayaan program ini dan menggalakkan peserta untuk mengekalkan kualiti dan kebersihan makanan.
“Kemahiran dan peluang yang ditawarkan oleh IPR INSAN akan membantu peserta mencapai kejayaan jangka panjang,” ujar Ismawi dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, RECODA menjelaskan inisiatif ini bertujuan membantu golongan B40 dengan peluang keusahawanan melalui mesin layan diri makanan.
“Mesin ini juga membolehkan peserta dapat mengoperasikan tanpa kos awal sekali gus memberi peluang kepada usahawan B40 membina perniagaan yang mampan,” jelas kenyataan.
Tambahnya, mesin layan diri juga merupakan sebahagian daripada program IPR di bawah Kementerian Ekonomi yang dilengkapi dengan subsidi sewa selama dua tahun.
Difahamkan mesin ini akan ditempatkan di kawasan tumpuan seperti UiTM Kota Samarah, Hospital Umum Sarawak dan Menara LCDA.
“Mesin ini menawarkan hidangan makanan kepada individu yang sibuk pada harga yang berpatutan bermula RM7.
RECODA turut menjalankan program sosioekonomi lain seperti IPR INTAN untuk usahawan pertanian dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat di Sarawak.
Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan Sarawak dalam mempromosikan pertumbuhan ekonomi inklusif dan kemakmuran.




