
GAZA – Kemusnahan teruk di utara Semenanjung Gaza termasuk serangan ke atas kemudahan perubatan yang tertekan akibat kekurangan bantuan kemanusiaan kritikal seolah-olah disengajakan, kata Caroline Seguin, seorang penyelaras kecemasan bagi Doctors Without Borders (MSF),
Seguin berkata, sistem kesihatan di utara Gaza kini tidak lagi wujud, dalam satu laporan yang diterbitkan pada Rabu di laman web badan amal perubatan itu.
Beliau menceritakan keadaan mengerikan di Hospital Indonesia, di mana setiap mesin perubatan didapati telah dimusnahkan secara sengaja.
“Mesin-mesin itu dihancurkan satu demi satu, untuk memastikan bahawa tiada lagi rawatan perubatan dapat diberikan.
“Kami tertanya-tanya, apakah motif di sebalik tindakan sebegini? Mesin-mesin ini dicipta untuk menyelamatkan nyawa ibu, bapa, anak-anak. Sangat menyedihkan melihat keadaan hospital-hospital itu,” katanya.
Seguin turut menggambarkan kemusnahan yang luar biasa termasuk bau mayat yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
“Di Bandar Gaza, kami sudah terkejut dengan tahap kemusnahan, tetapi apabila kami pergi ke utara Jabalia, kami langsung tidak dapat berkata apa-apa.
“Tiada apa-apa lagi di sana. Hanya runtuhan dan bau kematian di mana-mana akibat mayat yang masih terperangkap di bawah runtuhan,” katanya.
Walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, Seguin melaporkan bahawa bantuan kemanusiaan di utara Gaza masih tidak mencukupi.
“Selepas empat minggu pelaksanaan gencatan senjata, kami masih belum melihat peningkatan besar-besaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan di utara Gaza.
“Komuniti kemanusiaan antarabangsa gagal menyediakan perkhidmatan penting kepada penduduk yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan dan perubatan.
“Israel dan pihak antarabangsa mesti segera memastikan penghantaran bekalan penting seperti tempat perlindungan dan makanan, serta meningkatkan kapasiti pengagihan bantuan,” tambahnya.
Pasukan perubatan dan penyelamat Palestin menemui dua lagi mayat dari runtuhan di Gaza, menjadikan jumlah kematian akibat serangan genosid Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,222 orang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin pada Rabu.
Perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Januari, menghentikan perang Israel yang telah menyebabkan kemusnahan besar dan meninggalkan wilayah Palestin itu dalam keadaan hancur.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangannya terhadap wilayah itu, lapor Agensi Anadolu.





