
DALAM sebulan dua ini terlalu banyak kerenah pembangkang. Sebahagian kerenah itu pula lebih bersifat onar, yang sekiranya dilayan, langsung tidak membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
- Setelah tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Presiden Pas meroyan melabelkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih jahat daripada dajal. Ketika merasuah pengundi di beberapa kawasan Parlimen di Terengganu pada PRU15 dan didapati bersalah oleh mahkamah, adakah Pas tidak berperangai dajal? Boleh pula Presiden Pas kata, itu sedekah; bukannya rasuah.
- Ketika diberi peluang sekali lagi oleh Kerajaan Perpaduan (setelah sekian lama pintu rundingan dibuka) untuk menerima peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi perlu mengisytiharkan harta, macam-macam komentar dilontarkan mereka, antaranya langkah kerajaan kononnya tidak selari dengan Perlembagaan. Apa yang mereka takut amat mahu mengisytiharkan harta? Bagi calon Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada malam pengumuman calon Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lagi pun mereka sudah berbuat demikian di hadapan ribuan penyokong.
- Dimainkan dengan hangat isu ramai pendatang asing di negara ini terutama dari China, kononnya itu perancangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sedangkan itu telah dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen dengan hujah, fakta, dan bukti yang sangat terang. Mereka masih bermain dengan naratif itu dalam media sosial dalam bentuk menimbulkan kebencian yang sangat pekat.
- Baru-baru ini mereka mewujudkan naratif baharu – menyelar kerajaan dengan tuduhan bahawa ekonomi negara meleset sehingga jumlah pelancong sangat berkurangan pada hal fakta menunjukkkan perkara yang sebaliknya. Jelas sekali, semua itu sekadar dakyah dan kenyataan songsang.
- Langkah kerajaan menurunkan harga diesel dan petrol Ron 97 sebanyak 15 sen baru-baru ini disambut oleh pembangkang dengan “teriak menganjing” yang bunyinya lebih kurang begini: “Sendiri menaikkan harga, sendiri turunkan harga, sendiri memuji diri.” Ada atau tidak kelibat kematangan pembangkang dalam hal ini; tidak, kan?
- Menyedari bahawa sambutan umum ke atas parti mereka kian rosot (merosot), dalam suatu sesi mutamar Pas tempoh hari, Ketua Pemuda Pas Selangor tampil mencadangkan lelaki dalam parti itu mengamalkan perkahwinan rentas budaya dan rentas bangsa. Tergamak dia berfikir begitu setelah puas Pas melabelkan bangsa lain, terutamanya Cina sebagai kafir harbi.
- Mursyidul Am Pas – Datuk Hashim Jasin menimbulkan kemungkinan parti itu meminda perlembagaannya, antaranya berkaitan keahlian orang bukan Islam. Sekiranya itu mahu dilakukan, Pendaftar Pertubuhan sewajarnya menggesa Pas membuang perkataan Islam daripada nama parti tersebut.
- Beberapa ketika sebelum itu, kecoh kononnya Ahli Parlimen DAP – Teresa Kok – tidak mahu nilai Islam diamalkan di negara ini berikutan tersebarnya kenyataan wakil rakyat Seputeh yang mempersoalkan keperluan sijil halal. Pembangkang memutarbelitkan isu itu, daripada isu bebanan peniaga kepada isu agama.
- Sebelum itu lagi, pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) – Mahiaddin Yasin – tidak ragu-ragu memainkan isu akuan bersumpah yang kononnya berpihak kepadanya dalam penentuan pelantikan Perdana Menteri pasca-PRU15 dan memalitkan pelibatan bekas Yang di-Pertuan Agong. Akibatnya, beliau diheret ke mahkamah namun penyokong pembangkang masih juga tidak mahu insaf.
- Kerana bertapaknya kebencian yang keterlaluan kepada Kerajaan Perpaduan, sanggup pembangkang membaca dan mengaminkan Qunut Nazilah dalam sesi persidangan Parlimen. Biarpun insya-Allah hal yang buruk tidak berlaku ke atas pihak yang didoakan, namun itu memberi pengajaran yang salah berkaitan adab dan syarat pelaksanaan Qunut Nazilah. Pembangkang membawa mesej agama dengan cara yang salah kepada oramg awam. Ini menyimpang dan sesat.
Demikianlah serentetan kisah gelagat, kerenah, perangai, permainan, putar belit, dan onar pembangkang setelah mereka gagal mencapai misi “Tebuk Atap 2.0”. Nampak sangat mereka lebih mementingkan diri daripada menjaga kepentingan rakyat dan negara. Jika mahu ditulis masih ada yang belum masuk senarai ini.
Apa akan jadi agaknya sekiranya mereka memerintah negara ini? Masa 30 bulan yang pernah diberi kepada mereka sebagai kerajaan dahulu sangat menyukarkan rakyat kecuali kepada golongan kaki sakau.
Oleh sebab itu, tolak PN. Biar mereka terus meroyan sebagai pembangkang!