
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memulakan pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada semua murid yang layak di seluruh negara secara berperingkat mulai esok, termasuk pelajar sehingga Tingkatan Enam.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd Malek berkata, pelaksanaan bantuan itu dijangka bermula pada minggu pertama sesi persekolahan melibatkan semua murid yang layak.
“Edaran bantuan itu dijangka bermula pada minggu pertama sesi persekolahan membabitkan semua murid yang layak,” katanya memetik laporan BH.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Kelah Buku di Taman Botani, di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku (PKB), Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah Eksekutif PKB, Adibah Omar.
Program Kelah Buku yang memasuki edisi kedua penganjurannya dianjurkan oleh PKB dengan kerjasama Persatuan Booktube Malaysia dan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
BAP merupakan bantuan tunai secara sekali bayar berjumlah RM150 yang disalurkan kepada 5.2 juta murid sebagai salah satu inisiatif kerajaan bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Amzan berkata, KPM turut berharap agar kerajaan meneruskan pelaksanaan Program Inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 bagi dimanfaatkan oleh pelajar sekolah di seluruh negara.
“Inisiatif Baucar Buku MADANI ini di bawah Perbadanan Kota Buku (PKB) dan kami berharap permohonan ini akan diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata, Inisiatif Baucar Buku MADANI memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, khususnya dalam memastikan akses yang sama rata terhadap bahan bacaan berkualiti tinggi.
Semalam, media melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengakui bahawa pihak kementeriannya menerima beberapa rungutan berhubung pelaksanaan BAP tahun ini.
Beliau berkata, rungutan tersebut timbul susulan sesi persekolahan yang bermula lebih awal pada Januari.
“Mulai tahun depan, kita akan terus memperbaiki pelaksanaan dan mengambil saranan itu secara serius supaya bantuan dapat diberikan lebih awal bagi membolehkan persiapan dibuat lebih awal,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran Program Kelah Buku, Amzan berkata, inisiatif tersebut berperanan penting dalam memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat serta menghidupkan industri perbukuan negara.
Menurut beliau, penganjuran program itu di Putrajaya selama dua tahun berturut-turut memberikan impak positif, namun pihak penganjur disaran agar mempertimbangkan lokasi lain yang lebih menarik pada masa hadapan, termasuk memperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri.
Sementara itu, Mohd Khair berkata, permohonan peruntukan bagi Inisiatif Baucar Buku MADANI akan dikemukakan kepada kerajaan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBKL 2026) yang dijadualkan berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun depan.
Katanya, pada 2024 kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM276 juta bagi murid Tahun Empat hingga Tingkatan Enam, selain RM3.5 juta untuk pelajar universiti.
“Pada 2025 pula, sebanyak RM43 juta diluluskan membabitkan 430,000 guru dan 50,000 pelajar universiti,” katanya.








