
KINABATANGAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA, menyatakan pihaknya tidak memandang remeh mana-mana calon termasuk pencabarnya daripada Parti Warisan dalam menghadapi persaingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Beliau berkata, setiap perlawanan perlu dihadapi dengan sebaik mungkin kerana dalam pilihan raya, tiada keputusan seri, sebaliknya hanya kemenangan atau kekalahan.
“Kita tidak memandang remeh setiap calon dan setiap jentera parti.
“Bagi kita, setiap perlawanan itu penting dan perlu dihadapi dengan sebaik mungkin, sehabis mungkin.
“Saya yakin dengan sokongan rakyat Lamag dan Kinabatangan, kerusi ini mampu dikekalkan sebagai milik BN,” katanya ketika ditemui media selepas Proses Penamaan Calon di Dewan Sri Lamag, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai pencabarnya yang juga bekas rakan seperjuangan ketika bersama Warisan, MIHA berkata persaingan itu merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dilalui dalam landskap politik negara.
“Ini adalah proses demokrasi dan bukan perkara luar biasa. Ia lumrah dalam politik. Hari ini, kita berdepan satu lawan satu dengan Warisan.
“Ini persaingan sihat dan demi meraikan demokrasi, wajarlah kita masing-masing berkempen untuk memenangi parti, khususnya BN,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang masalah dan beliau telah disahkan sebagai calon nombor satu bagi DUN Lamag atas tiket BN.
“Alhamdulillah, proses penamaan calon berjalan lancar. Harapan kami di BN agar diberikan peluang untuk berkhidmat dan melakukan yang terbaik demi rakyat,” katanya.






