
KUCHING – Sebanyak 28 buah sekolah di Sarawak tidak dapat memulakan sesi persekolahan hari ini akibat dilanda banjir dan laluan utama yang ditenggelami air.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, jumlah muktamad itu diperolehi pagi ini, dengan pecahan terbesar melibatkan 20 buah sekolah di Dalat yang dilaporkan dinaiki air pada sebelah malam.
Menurutnya, angka sekolah terjejas menunjukkan perubahan berbanding laporan awal.
“Pada pagi semalam, kita anggarkan 42 buah sekolah tidak dapat beroperasi, namun selepas penilaian semula dibuat pada sebelah petang, jumlah itu berjaya dikurangkan kepada 26 buah sekolah.
“Bagaimanapun, malam tadi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat memaklumkan terdapat 20 sekolah di kawasan tersebut dinaiki air, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah yang tidak dapat beroperasi pagi ini ialah 28 buah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bersyukur kerana tiada kerosakan harta benda yang serius dilaporkan setakat ini.
“Pihak sekolah telah membuat persiapan awal dengan memindahkan peralatan dan aset ke tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan.
“Setakat ini, saya belum menerima laporan mengenai kerosakan aset yang teruk,” jelasnya.
Mengulas mengenai kesan penangguhan itu, beliau memberi jaminan bahawa momentum pelajar tidak akan terjejas memandangkan minggu pertama persekolahan diisi dengan sesi suai kenal dan aktiviti pembelajaran santai.
“Keutamaan kita adalah keselamatan warga sekolah dan operasi akan disambung semula sebaik keadaan mengizinkan,” tambahnya.





