
KUCHING – Jumlah mangsa banjir yang terjejas akibat banjir di Sarawak meningkat 5,385 orang setakat dilaporkan pukul 8 pagi tadi.
Difahamkan mangsa yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), jumlah ini agak tinggi berbanding 2,981 mangsa yang direkodkan semalam.
Bintulu mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 1,481 orang yang ditempatkan di PPS.
Selain itu, Serian turut mencatatkan 1,442 mangsa yang mendapatkan perlindungan di PPS.
Samarahan turut terjejas dengan bencana bancir dengan mencatatkan jumlah 117 mangsa dan mendapat tempat perlindungan sementara di Dewan Mesra Simunjan.
Lima PPS turut diaktifkan di Kuching iaitu PPS SJK (c) Chung Hua Batu Kawa, PPS Dewan Haji Kamaruddin, PPS SK Sejijak, PPS Balai Raya Kampung Pangkalan Melayu Bau dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Kranji.
Miri turut dilaporkan terjejas dengan tujuh PPS diaktifkan serta Sibu mencatatkan tiga PPS dibuka iaitu PPS Dewan Penghulu Seribu Nanga Tada Kanowit, PPS SK Bukit Arip, Selangau dan PPS SJK (C) Tong Ah Selangau.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Douglas Uggah Embas berkata pasukan penyelamat sentiasa bersedia di semua Lokasi dalam menghadapi bencana banjir.
“Saya menasihatkan agar penduduk bersedia apabila diarahkan berpindah demi keselamatan diri,” ujar beliau.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan hujan lebat berterusan tahap bahaya Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) sehingga Jumaat, 31 Januari 2025.
Orang ramai dinasihatkan sentiasa bersiap sedia dan patuhi arahan dari semasa ke semasa demi keselamatan diri dan keluarga.







