
BINTULU – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing turun padang demi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Bintulu.
Menerusi Facebook rasmi beliau, King Sing dan pasukan beliau turut turun membantu mangsa yang terjejas walaupun semalam sepatutnya menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga.
Beliau turut berdoa dan berharap agar mangsa bertabah dalam menghadapi ujian bencana banjir ini.
“Saya berterima kasih kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kerana memberi tindakan pantas dalam menangani isu bencana banjir,” ujar beliau.
Beliau juga berterima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Douglas Uggah Embas dan pihak terlibat kerana bertungkus-lumus membantu mangsa yang terjejas akibat banjir.
Tinjauan penulis di Facebook mendapati King Sing diberi pujian oleh warganet kerana beliau sanggup mengorbankan masa bersama-sama keluarga sempena Tahun Baharu Cina.
Mangsa yang terjejas akibat banjir di Bintulu boleh menghubungi Pejabat Parlimen Bintulu di talian 019-9565555 atau 086-312979.
Beliau turut menasihatkan agar orang ramai sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.







