TERDAPAT kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan tarif timbal balas ke atas Malaysia berjumlah 24 peratus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini, berkata ia masih berada di peringkat awal dan belum ada sebarang persetujuan muktamad kedua-dua pihak.
“Kerajaan AS bersetuju untuk mengadakan rundingan lebih lanjut dan setakat ini terdapat kemungkinan untuk kurangkan tarif timbal balik dikenakan ke atas Malaysia.
“Namun, sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Anwar menjelaskan, rundingan bersama masih berada di peringkat awal dan tiada sebarang komitmen muktamad dibuat Malaysia mahupun AS.
“Tambahan pula, segala perbincangan sedang berjalan tertakluk kepada `non-disclosure agreement (NDA)’, selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan membabitkan kepentingan strategik dan sensitif.
“Sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan, jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen,” katanya.
Anwar menegaskan kerajaan menolak dakwaan AS bahawa Malaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia.
Ini kerana, katanya, pengiraan AS berdasarkan nisbah mudah defisit dagangan AS dengan Malaysia berbanding jumlah import pada 2024.
“Dakwaan ini digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikatakan dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari AS.
“Pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh.
“Hakikatnya secara purata, tarif dikenakan ke atas import barangan AS ke Malaysia hanyalah pada kadar 5.6 peratus dan ini diakui Pejabat Perwakilan Perdagangan AS dalam laporan `2025 National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers of the President of the United States on the Trade Agreements Program’ diterbitkan 31 Mac lalu,” katanya.
Anwar berkata, sebagai antara rakan dagang terbesar negara, sudah tentu keputusan AS itu memberi impak ketara kepada prestasi eksport Malaysia ke AS, lantas menjejaskan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
“Kerajaan mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balas (reciprocal tariff) ini.
“Justeru, mengambil kira kepentingan AS sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara, di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia.
“Alhamdulillah, kita secara agresif membuka ruang perdagangan baharu, meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada seperti BRICS dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di mana ini membuahkan hasil.
“Umpamanya, pertumbuhan eksport ke negara ASEAN meningkat sebanyak 4.2 peratus dan Kesatuan Eropah (EU) meningkat sebanyak 2.6 peratus, manakala pertumbuhan eksport ke pasaran bukan tradisional pada tahun 2024 juga telah melonjak.
“Antaranya Mesir sebanyak 53.6 peratus, Pakistan sebanyak 29 peratus dan Kemboja sebanyak 30.1 peratus,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia dan AS mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan harmoni dan progresif sejak hubungan diplomatik bermula tahun 1957.
Jumlah perdagangan 2024 dengan AS merekodkan RM325 bilion, bersamaan 11 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.





