JEDDAH – Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan larangan penggunaan kamera untuk merekod jemaah menunaikan solat tarawih, termasuk siaran langsung sepanjang ibadah terbabit dijalankan.
Larangan ini diumumkan Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut laporan dipetik dari Middle East Monitor, larangan ini bukan sahaja terpakai untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga untuk semua solat berjemaah di masjid.
Kementerian menyatakan bahawa larangan itu bertujuan memastikan kesucian masjid, mencipta suasana kondusif bagi menjalani ibadah, serta menjamin keselesaan jemaah yang hadir.
“Kementerian juga menekankan pentingnya imam dan khatib mematuhi garis panduan ditetapkan dan membimbing jemaah agar mematuhi etika yang sesuai di dalam masjid,” kata laporan itu.
Selain itu, Kementerian turut melarang pengumpulan derma untuk jamuan berbuka puasa di dalam masjid.
Umat Islam yang ingin berkongsi berbuka puasa diminta untuk melaksanakannya di tempat ditentukan pihak berkuasa tempatan.
Ramadan di Arab Saudi dijangka bermula pada Sabtu, 1 Mac 2025, menurut perhitungan astronomi yang disampaikan oleh Presiden Astronomi Jeddah, Majed Abu Zahwa.
Sebanyak tujuh imam akan memimpin solat tarawih di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan ini, termasuk Syekih Abdurrahman as-Sudais.





