
JAKARTA – Akibat terlalu bergantung pada aplikasi Google Maps, sebuah lori pengangkut pasir terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Pinrang, Sulawesi Selatan, awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, seorang kelindan lori, Farel, 17, maut di lokasi selepas tersepit di bawah tayar, manakala pemandu, Dadi, 18, dan seorang lagi pembantu, Anto, 18, terselamat dengan cedera ringan.
Ketua Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pinrang, Rhommy Manule berkata, lori berkenaan dalam perjalanan dari Malimpung ke Sidrap sebelum mengikuti laluan pintas yang disarankan aplikasi tersebut di kawasan Dusun Banga.
“Mereka mengikuti jalan pintas yang diarahkan Google Maps di Dusun Banga, tetapi laluan itu tersasar sehingga lori terbabas lalu terjunam ke sungai.
“Kesilapan penunjuk jalan Google Maps menyebabkan lori tersasar dan terjun ke sungai. Laluan yang dipilih tidak sesuai untuk kenderaan berat sehingga lori mengalami kemalangan,” katanya.
Operasi menyelamat dijalankan oleh pasukan penyelamat yang melibatkan pasukan Biro Keselamatan dan Penyelamat Nasional (Basarnas), Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Pinrang, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Republik Indonesia (Polri), serta dibantu oleh penduduk setempat.
Dalam operasi itu, mangsa, Farel ditemukan tersepit di bawah tayar lori dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke kediaman keluarga di Sidrap dan dua mangsa yang terselamat kini menerima rawatan susulan, manakala lori masih berada di lokasi sementara menunggu proses pemindahan sepenuhnya.






