
PULAU PINANG – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang mengecam keras tindakan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di hadapan premis perniagaan Jinly Hardware Trading, Taman Bertam Perdana, Kepala Batas.
Ketua AMK Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal menyifatkan perbuatan tersebut sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan menghina maruah negara, khususnya ketika rakyat sedang menyambut bulan kemerdekaan.
“Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, perpaduan dan harga diri rakyat Malaysia.
“Mengibarkannya secara terbalik merupakan satu penghinaan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, AMK Pulau Pinang menuntut siasatan segera oleh pihak berkuasa dan tindakan undang-undang diambil sekiranya perbuatan tersebut didapati disengajakan.
Selain itu, pihaknya menggesa pemilik premis tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, serta menyeru semua pemilik premis di negeri ini memastikan Jalur Gemilang dikibarkan dengan betul mengikut protokol yang ditetapkan.
Muhammad Zakwan menegaskan Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan, sebaliknya melambangkan pengorbanan pejuang kemerdekaan dan identiti negara yang harus dihormati.
“Cukup-cukuplah dengan alasan ‘tidak sengaja’ atau ‘silap pasang’. Kita memerlukan kesedaran, bukan alasan,” tegasnya.





