DAKWAAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati adalah berita palsu yang sengaja dicipta untuk membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan.
Saifuddin berkata, proses kelulusan permohonan kewarganegaraan tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang serta tapisan keselamatan yang ketat selain tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, apatah lagi untuk memenuhi agenda politik pihak tertentu.
“Dakwaan tidak bertanggungjawab ini fitnay dan berita palsu seperti tidak boleh dijadikan senjata politik, terutamanya ketika Kerajaan MADANI bertungkus lumus membantu rakyat menangani Krisis Bekalan Global.
“Sepanjang saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya telah menjelaskan fakta ini berserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan sesi bertemu media.
“Namun poster berunsur fitnah dan berbaur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) ini muncul dan tular sekali lagi selepas penafian saya mengenai isu sama pada Mac tahun lepas” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, pada Rabu.
Sehubungan itu, Saifuddin Nasution menyeru rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber sahih.

“Penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara. Saya menyeru pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu ini menghentikan segera tindakan tidak bermoral itu dan
“Bersamalah menyokong usaha Kerajaan MADANI mendepani cabaran semasa termasuk isu krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rakyat serta negara,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara.
“Ini bukan masa untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda tidak berasas semasa rakyat sedang berhadapan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.







