KUALA LUMPUR – Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, hari ini memohon maaf secara terbuka serta menarik balik kenyataan kontroversi yang dikaitkan dengan sahabat Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan ceramah politik di Kuala Terengganu, Ahad lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, kenyataan berkenaan tercetus akibat kelemahan dalam penyampaian dan pengolahan fakta sehingga menimbulkan salah faham serta menyinggung sensitiviti banyak pihak.
“Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut. Saya sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, penjelasan yang disampaikan dalam ceramah berkenaan sebenarnya bertujuan menghuraikan perubahan besar yang dibawa Islam terhadap masyarakat Arab Jahiliah melalui dakwah Nabi Muhammad SAW.
Katanya, beliau tidak pernah berniat memperlekeh atau menghina para sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam.
“Saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian PAS mahupun kepimpinannya,” katanya.
Dalam video yang turut dikongsikan Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, Nik Muhammad Zawawi berkata beliau menerima pelbagai reaksi susulan kenyataan berkenaan, termasuk teguran daripada ilmuwan dan masyarakat.
“Saya sendiri sama sekali tidak berniat menghina para sahabat. Cuma kesilapan di sebelah saya apabila menggunakan satu perkataan yang agak besar seperti ‘bapa ceti’ dan ‘kaki zina’.
“Jadi saya tarik balik penggunaan perkataan ini dan saya mohon maaf kepada sesiapa yang terasa hati,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap orang ramai dapat memberikan teguran secara berhemah dan tidak tergesa-gesa membuat penilaian terhadap isu berkenaan.
“Kepada yang menegur secara melulu itu, lain kali jangan melulu tegur kerana benda yang berlaku di zaman Jahiliah ini sememangnya tidak ada riwayat dan kalau ada riwayat pun dia mesti da’if, itu zaman Jahiliyah.
“Cuma tersilap apabila saya sandarkan kepada Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan sahabat,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman ucapan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS itu yang menyentuh latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum memeluk Islam.
Dalam ceramah berkenaan, beliau mengaitkan Sayidina Abu Bakar dengan istilah ‘bapa ceti’, manakala Sayidina Umar pula digambarkan sebagai seorang yang ganas dan gemar berzina sebelum kedatangan Islam.
Kenyataan itu menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin PAS sendiri.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menerusi kenyataan di Facebook menegaskan sahabat Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang mulia dan tidak boleh disamakan dengan tokoh sejarah biasa.






