PUTRAJAYA – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) menegur ucapan Ahli Parlimen Pasir Putih, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilihat telah menyampaikan fakta tidak tepat hingga mencetuskan kontroversi dalam ceramahnya mengenai sejarah sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya memandang serius terhadap polemik yang timbul berhubung isu terbabit dan mengakui terdapat kenyataan tidak tepat khususnya mengenai Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman dalam video tular ceramah berkenaan.
Menurut beliau, para sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat Islam yang wajib dimuliakan serta dipelihara kehormatan mereka.
“Sebarang huraian berkaitan sejarah dan keperibadian mereka, khususnya kehidupan mereka pada zaman Jahiliyyah, hendaklah disampaikan secara tepat, beradab serta berpandukan disiplin ilmu yang sahih.
“Kita juga telah menegur dan memberi peringatan secara dalaman kepada Nik Muhammad Zawawi agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam, khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan Sahabat Rasulullah,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Susulan perkara itu, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR (BiPPA) mendesak bekas Ketua Dewan Ulamak Pas itu memberikan penjelasan dan permohonan maaf daripada parti kerana tindakan itu dilihat boleh mencemarkan kemurnian Islam.
Nik Muhammad Zawawi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas cuba tampil membuat kenyataan ‘pusingan U’ malam tadi selepas ceramahnya mengaitkan Saidina Abu Bakar dengan istilah ‘ceti’ ketika menyentuh tentang sistem ekonomi masyarakat jahiliah mendapat kecaman pelbagai pihak.
Menerusi satu video penjelasan yang dikongsikan di Facebook, beliau menegaskan penggunaan istilah tersebut bukan bertujuan menghina atau merendahkan martabat sahabat Rasulullah SAW, sebaliknya sebagai analogi supaya masyarakat lebih mudah memahami realiti sistem ekonomi zalim pada zaman jahiliah.
Nik Muhammad Zawawi turut memaklumkan sengaja menangguhkan penjelasan berhubung isu tersebut bagi melihat reaksi masyarakat terhadap kenyataannya.
Dalam cubaan mengukuhkan hujah, beliau mengaitkan perjalanan hidup Umar al-Khattab dan Abu Bakar al-Siddiq sebagai contoh transformasi daripada jahiliah kepada Islam, namun penjelasan itu dilihat tidak lagi menyentuh isu pokok yang mencetuskan kemarahan awal masyarakat umum.
Sementara itu, Mohd Nor berkata ia menghargai teguran ilmuwan yang disampaikan secara beradab ilmiah serta bersandarkan fakta yang sahih.
” Budaya saling menasihati dalam perkara ilmu perlu terus diperkukuhkan demi memelihara kefahaman Islam yang benar dalam masyarakat.
“DUPP komited untuk terus memperkemaskan panduan penyampaian dakwah agar setiap penyampaian dibuat dengan lebih teliti, berhikmah serta mematuhi disiplin ilmu dan adab Islam,” katanya.






