
KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Pahang perlu mengamalkan budaya politik matang dengan berperanan sebagai mekanisme
‘semak dan imbang’ secara konstruktif.
Perkara itu sejajar dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Jumaat lalu.
ADUN Lantikan Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, peranan pembangkang dalam sistem demokrasi berperlembagaan bukan bermakna mereka perlu ‘menyerang’ kerajaan sepanjang masa.
Sebaliknya, ADUN pembangkang perlu menjadi rakan strategik dalam memastikan ketelusan dan kecekapan pentadbiran demi kemaslahatan rakyat.
“Terma ‘Semak dan Imbang’ yang digariskan baginda membawa pengertian yang mendalam bagi kestabilan negeri.
“Ia merangkumi proses menilai, memeriksa dan menegur setiap dasar serta tindakan kerajaan berdasarkan fakta.
“Langkah ini dilihat penting bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan memastikan suara rakyat sentiasa dibawa ke sidang DUN tanpa pengaruh sentimen politik sempit,” katanya.
Beliau turut menjelaskan mengenai pembudayaan politik konstruktif dalam kalangan wakil rakyat.
Katanya, baginda mahu pembangkang mampu memberi teguran untuk membina, bukannya menghina.
“Jika mahu mengkritik, bukan menjadi masalah asalkan berdasarkan hujah dan fakta, bukan fitnah atau maki hamun.
“Selain itu, wakil rakyat juga perlu menjauhkan diri daripada mempolitikkan semua isu atau mencetuskan kebencian terhadap institusi negeri,” katanya.
Ahmad Irshadi juga menerangkan prinsip Islam dan kematangan politik yang selari dengan konsep ‘Agama Itu Nasihat’, bertepatan dengan kata-kata Saidina Umar al-Khattab RA mengenai kepentingan saling menegur antara pemimpin dan rakyat bagi mencapai kebaikan bersama.





