
AKTA Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa hari ini mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.
Tinjauan The Malaysia Press mendapati majoriti menyokong langkah kerajaan ini yang dilihat mampu memperbaiki tahap kesihatan awam dan mengekang penularan tabiat merokok, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Hassan, 73, seorang pesara menekankan kepentingan akta ini dalam melindungi golongan muda daripada bahaya rokok.

“Kawal sedikit orang muda yang mula merokok, kalau boleh jangan mulakan merokok. Ia merosakkan kesihatan.
“Langkah ini wajar untuk menghalang generasi seterusnya daripada terjebak dalam tabiat merokok yang sukar dihentikan apabila sudah menjadi kebiasaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Nor Fitri, 23, seorang pegawai penguat kuasa, berpendapat bahawa Akta 852 datang tepat pada waktunya, terutamanya dengan keadaan cuaca yang tidak menentu yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan perokok dan pengguna vape.

“Bagi saya, baguslah buat masa sekarang ni untuk mana-mana yang tegar vape dan rokok tu ‘slow down’ sebab keadaan cuaca sekarang pun tidak menentu, jadi benda tu boleh memberi kesan kepada kesihatan kita,” katanya.
Mohamad Rizwan, 45, seorang arkitek, menyifatkan akta ini sebagai satu inisiatif penting dalam menjaga kesihatan awam.

Dia menekankan keperluan untuk semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kejayaan penguatkuasaan akta ini, termasuk pihak penjual dan pengguna.
“Pada saya, penguatkuasaan ini adalah bagus. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memberi satu cara kesihatan awam kepada semua masyarakat.
“Nasihat kepada perokok-perokok di luar sana, akta ini bagus untuk memberi nasihat dan amaran agar mereka berhenti ataupun mengurangkan risiko kesihatan masing-masing,” jelasnya.
Rizwan turut menambah bahawa penguatkuasaan ini perlu diperkukuhkan dengan sokongan agensi kerajaan serta tindakan proaktif daripada penjual rokok dan vape.
Beliau berharap akta ini akan terus ditambah baik, terutamanya jika ada cabaran yang timbul dalam pelaksanaannya di kemudian hari.
“Harapan saya adalah supaya penguatkuasaan ini berkekalan dan ditambah baik dari masa ke masa. Dari aspek kesihatan, saya rasa baik untuk masyarakat Malaysia secara keseluruhan,” tambah Rizwan.
Dengan penguatkuasaan Akta 852, kerajaan Malaysia jelas berusaha melindungi rakyat daripada bahaya tembakau dan produk vape yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.
Walaupun terdapat segelintir yang mungkin berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan peraturan baharu ini, pandangan umum menunjukkan sokongan yang kukuh terhadap usaha ini.
Terdahulu media melaporkan, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, mula berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi media sosial memaklumkan, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan TERMASUK rokok elektronik.
Akta ini merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Akta 852 diwartakan pada Februari lalu pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.





