HUJUNG minggu lalu, Kerajaan Perpaduan menganjurkan program dua tahun Kerajaan Madani di ibu negara.
Penganjuran itu untuk menunjukkan bahawa kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melepasi ‘tempoh hayat’ berbanding kerajaan terdahulu.
Kerajaan ‘tebuk atap’ versi 1.0 menyaksikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan sebelum Ahli Parlimen Pagoh mengalah apabila kumpulan Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan.
Seterusnya, versi 2.0 kerajaan ‘tebuk atap’ yang memilih Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada UMNO sebagai Perdana Menteri pula bertahan selama 14 bulan.
Kisah Ismail Sabri itu agak menarik kerana beliau ditekan oleh sebahagian daripada pimpinan dan Ahli Parlimen daripada partinya sendiri untuk membubarkan Parlimen.
Maka, riwayat kerajaan ‘tebuk atap’ yang bermula sekitar Mac 2020, secara rasmi berakhir pada Oktober 2022.
Dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) sekali lagi berusaha untuk memenangi semula hati pengundi.
Hasilnya, PH memperoleh 82 kerusi dalam pilihan raya umum itu, manakala gabungan Perikatan Nasional (PN) mendapat 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) pula memenangi 30 kerusi.
Dalam keadaan tidak ada mana-mana parti atau gabungan memiliki majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tampil dengan saranan yang bijaksana – mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Titah Baginda itu disambut baik oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menolak saranan Al-Sultan Abdullah atas alasan enggan bekerjasama dengan DAP yang berada dalam gabungan PH.
Selepas persetujuan dimeterai antara PH dan BN, seterusnya pembentukan Kerajaan Perpaduan menjadi kenyataan dan mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
Dan, selepas lebih kurang dua tahun Kerajaan Perpaduan yang dikenali Kerajaan Madani berfungsi dengan baik, muncul pula khabar angin kononnya ada cubaan untuk menjalankan operasi ‘tebuk atap’ versi 3.0.
Bahkan, sejak minggu lalu ada senarai kononnya bakal Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kabinet untuk kerajaan ‘tebuk atap’ itu.
Namun, difahamkan usaha berkenaan menemui jalan buntu apabila Pengerusi BN menolak cadangan terbabit.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Konvensyen BN Perak Ahad lalu mendedahkan perancangan ‘nakal’ itu.
“Ada yang menawarkan kononnya mahu menggantikan kerajaan sedia ada (Kerajaan Perpaduan) dan mahu melontarkan (mencadangkan) kita (BN) sebagai Perdana Menteri.
“Saya cakap kepada mereka (yang memujuk) jangan buang masa, marilah kita perkukuh Kerajaan Perpaduan yang ada.
“Jawapan saya tegas, kerana saya tidak akan mengkhianati kawan, itu pegangan saya walaupun ramai kawan mengkhianati saya.
“Dalam politik jangan naik, jangan pijak kepala orang. Jika kita pijak orang lain, ingat satu hari nanti apabila kita berada di atas, orang lain akan pijak kita untuk turun dengan hina,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pelawaan itu sebagai tanda kumpulan terbabit terdesak untuk kembali berkuasa.
“Mereka sudah merasakan nikmat (menjadi) menteri. Ada kalangan mereka pernah jadi menteri, timbalan menteri, menjadi kerajaan. Minggu lepas ada ahli Parlimen mereka (pembangkang) datang berjumpa saya.
“… apa yang mereka tawarkan? mereka kata marilah kita bersama untuk membentuk kerajaan baharu di bawah panji-panji Kerajaan Perpaduan, kami mahu masuk semula, berilah kami empat menteri,” ujarnya.
Setakat ini belum ada penafian secara rasmi oleh PN berkaitan isu berkenaan, kecuali Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini yang mengaku memang ada usaha ke arah itu – untuk ‘tebuk atap’ sekali lagi.
Seharusnya perkara seumpama ini tidak lagi berlaku kerana Kerajaan Madani sedang melakukan kerja dengan baik.
Keadaan ekonomi negara semakin pulih dan pelaburan asing juga terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Kalau nak jadi kerajaan sekali pun, sabarlah dulu kerana peluang masih ada dalam pilihan raya umum akan datang.









