
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap lima individu yang dipercayai menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kenaikan harga petrol dan diesel menerusi platform media sosial, Threads.
Menurut kenyataan MCMC, tiga daripada individu terbabit telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan lanjut.
Katanya, hasil penelitian terhadap aduan yang diterima mendapati kandungan yang disebarkan berkaitan kenaikan harga bahan api itu adalah tidak benar, mengelirukan dan berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.
“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 sudah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
“Susulan itu, pihak MCMC juga sudah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular itu adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam masa sama, MCMC mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform media sosial secara berhemah serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
Sebelum ini, Buletin TV3 dilaporkan menerima makluman mengenai penyebaran maklumat palsu berkaitan harga minyak yang menggunakan logo serta identiti visualnya.
Sehubungan itu, Buletin TV3 menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah menerbitkan atau mengeluarkan sebarang maklumat berkaitan harga minyak seperti yang tular di media sosial.
Untuk rekod, Buletin TV3 pernah menghasilkan bahan grafik berkaitan isu berkenaan, namun ia disediakan berdasarkan rujukan rasmi daripada Kementerian Kewangan (MoF).






