
RAKYAT diingatkan agar tidak panik dan melakukan pembelian berlebihan susulan kebimbangan terhadap isu keterjaminan makanan dalam situasi krisis tenaga global ketika ini.
Pemerhati politik, Norman Daud berkata, tindakan menyimpan stok makanan secara berlebihan bukan sahaja tidak perlu, malah boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta mempercepatkan penyusutan bekalan sedia ada.
“Kalau kita perasan dalam media sosial dah ramai orang yang menyebarkan gesaan supaya rakyat negara kita mula menyimpan stok makanan kerana takut bekalan makanan terputus. Kegusaran ini sebenarnya dalam pemerhatian dan tindakan kerajaan.
“Semalam ketika mesyuarat kabinet menteri, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan negara mempunyai stok bekalan beras sehingga hujung tahun ini. Dengan syarat tiada kegiatan menyuruk beras dan menyeludup beras keluar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Norman berkata, Malaysia turut mengekalkan stok penimbal beras yang diuruskan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas), dengan kapasiti yang telah ditingkatkan kepada 290,000 tan metrik bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan atau gangguan import.
“Secara teknikal, Malaysia mengekalkan stok penimbal yang diuruskan oleh Bernas. Sasaran stok penimbal ini telah ditingkatkan secara berperingkat kepada 290,000 tan metrik bagi memastikan ketersediaan bekalan sekiranya berlaku kecemasan atau gangguan import.
“Selain beras, bekalan makanan asas lain seperti ayam, telur, dan ikan juga dilaporkan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun 2026,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan terus mengekalkan harga diesel bersubsidi di bawah Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) pada kadar RM2.15 seliter, melibatkan 23 jenis kenderaan barangan darat termasuk lori rigid, lori pembuang dan van barangan.
Langkah tersebut dilihat penting bagi memastikan harga barangan keperluan asas kekal stabil tanpa kenaikan mendadak.
Sehubungan itu, Norman menegaskan rakyat perlu bertenang dan memberi kepercayaan kepada usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan serta keterjaminan bekalan makanan negara terus terpelihara.
“Jadi.. tak perlulah nak buat belian panik lagi buat masa ini kerana tindakan tersebut boleh mengganggu kestabilan pasaran dan memendekkan jangka hayat stok sedia ada secara tidak semula jadi.
“Bertenang dan yakin kerajaan sedang melipat gandakan usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.





