
SEMPORNA – Seramai 28 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan, 165 notis dan kompaun serta rampasan dianggarkan RM680,250 direkodkan menerusi satu operasi bersepadu di sekitar daerah ini, sejak Rabu hingga awal pagi Khamis.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), DCP Datuk Victor Sanjos berkata, operasi itu melibatkan pelbagai jabatan serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang di ESS Zone.
“Operasi melibatkan 269 pegawai dan anggota itu menyasarkan 40 buah resort dan premis perniagaan di sekitar kawasan bandar serta perairan Semporna termasuk penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung.
“Dalam operasi berkenaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 28 individu untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Manakala, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 32 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerja 1955 [Akta 265] melibatkan kegagalan majikan mematuhi peruntukan berkaitan syarat pekerjaan dan kebajikan pekerja.
“Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan sembilan kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Syarikat 2016 [Akta 777] dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) mengeluarkan lapan notis dan kompaun di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] berkaitan pematuhan pengendalian data peribadi, ” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Sementara itu, Majlis Daerah Semporna (MDS) turut mengeluarkan 33 kompaun pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil MDS yang dikuatkuasakan di bawah Local Government Ordinance 1961 (Sabah).
Victor berkata, 49 notis turut dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341] kerana kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran seperti pili bomba, pengesan asap, alat penggera kebakaran manual, lampu kecemasan serta alat pemadam api di premis.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19 termasuk cukai di bawah peruntukan Akta Kastam 1967 [Akta 235] dan Akta Eksais 1976 [Akta 176].

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengeluarkan tujuh kompaun pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].
“Selain itu, Jabatan Hidupan Liar Sabah turut merampas pelbagai hasil hidupan liar termasuk daging babi, kura-kura dan burung murai dengan nilai dianggarkan RM1,300.00 dan disyaki melanggar peruntukan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” tambahnya.
Menurut Victor, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengeluarkan 18 kompaun terhadap majikan yang gagal mendaftar pekerja di bawah Seksyen 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (AKSP 1969) dan Seksyen 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (ASIP 2017).
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Sabah turut mengambil tindakan terhadap kesalahan berkaitan aktiviti perikanan termasuk rampasan peralatan menangkap ikan (panah ikan).
Tegas Victor, operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI melalui Operasi SANGGAH ESSCOM bagi memperkukuh operasi keselamatan sedia ada.
“Sejajar dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ , agensi ini akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal,” katanya.






