KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan rakyat sambil memastikan pengurusan ekonomi negara dilaksanakan secara teratur, menyeluruh dan berkesan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, asas ekonomi Malaysia masih berada pada tahap kukuh dan berdaya tahan, selain beberapa langkah awal telah dilaksanakan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Namun begitu, kerajaan kini mengambil pendekatan kesiapsiagaan tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk krisis tenaga global. Ini adalah realiti yang bakal kita hadapi,” katanya menerusi hantaran di laman sosial rasmi beliau, semalam.
Terdahulu, Amir Hamzah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keterjaminan Tenaga dan Kesan Konflik Asia Barat Bilangan Ketiga yang membincangkan dapatan daripada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).Beliau berkata perkembangan konflik di Asia Barat yang semakin memuncak dan belum menunjukkan petanda penyelesaian dalam masa terdekat berpotensi memberi kesan besar kepada sektor tenaga, rantaian bekalan serta ekonomi global.
“Konflik Asia Barat terus meruncing dan tidak kelihatan tanda-tanda penyelesaian dalam masa terdekat, seterusnya memberi tekanan dan implikasi yang besar terhadap tenaga, rantaian bekalan dan ekonomi global,” katanya.
Menurut beliau, langkah yang diambil kerajaan turut memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sektor industri.
Dalam masa sama, kerajaan menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup lebih berhemat dan sederhana termasuk merancang perjalanan, mengurus perbelanjaan serta menggunakan tenaga elektrik secara lebih cekap di rumah dan tempat kerja.





