
MUKAH – Sebanyak 1,870 kotak air minuman diagihkan kepada penduduk di kawasan Ulu Baoh, dalam pentadbiran Daerah Dalat, yang terjejas teruk akibat gangguan bekalan air susulan fenomena kemarau dan cuaca panas berpanjangan.
Inisiatif bantuan itu melibatkan penduduk di sembilan rumah panjang iaitu Rumah (Rh) James, Rh Lenggang, Rh Ranggi, Rh Umpang Ilai, Rh Buan Ipul, Rh Agup, Rh China, Rh Jawa, Rh Simu, serta warga Sekolah Kebangsaan (SK) Baoh Ulu.
Tuai Rumah James Ambrose Anong berkata, penghantaran bantuan tersebut amat melegakan penduduk yang kini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian, terutamanya bagi tujuan minuman dan penyediaan makanan.
“Keadaan cuaca panas yang berlarutan telah menjejaskan sumber air utama kami.”

“Penduduk di Ulu Baoh amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib dan ADUN Tellian, Royston Valentine atas keprihatinan menyalurkan bantuan ini melalui Pusat Khidmat masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, permohonan bantuan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah Dalat sebelum dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan segera.
Operasi agihan tersebut diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dalat dengan kerjasama pelbagai agensi.
Difahamkan, ini merupakan agihan fasa kedua selepas penghantaran pertama pada 28 Mac lalu yang melibatkan 1,218 kotak air minuman ke beberapa kawasan lain yang turut terjejas.
Foto: JAPEN Mukah







