Penduduk tempatan dicadang jadi tenaga kerja hotel Pulau Berhala – Vivian

SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mencadangkan agar pihak pengusaha hotel yang bakal dibangunkan di Pulau Berhala memberi keutamaan kepada penduduk tempatan sebagai tenaga kerja.

Menurut beliau, peluang pekerjaan itu boleh dimanfaatkan oleh golongan belia serta ibu tunggal yang telah menamatkan persekolahan, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Kalau boleh, gunakan penduduk di sini sebagai petugas.

“Kami boleh bantu melatih mereka termasuk menghantar ke kursus berkaitan komunikasi dan perkhidmatan makanan dan minuman (F&B),” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Kongsi Raya Parlimen Sandakan Bersama Penduduk Kampung (Kg) Berhala, di sini, pada Ahad.

Mengulas perkembangan cadangan pembangunan hotel di kawasan berkenaan, Vivian mengakui hotel bertaraf lima bintang mempunyai kriteria tertentu dalam pengambilan pekerja, namun yakin penduduk tempatan mampu memenuhi keperluan tersebut melalui latihan yang sesuai.

Katanya, inisiatif itu juga bertujuan mengurangkan keperluan penduduk tempatan berhijrah ke bandar seperti Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan.

“Usaha ini adalah untuk membawa lebih banyak pembangunan hotel ke Sandakan sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan, khususnya di Pulau Berhala,” ujarnya.

Dalam pada itu, Vivian berkata, projek berkenaan telah mendapat kelulusan kabinet, namun masih memerlukan proses dokumentasi yang lengkap sebelum boleh dilaksanakan.

“Kelulusan sahaja tidak mencukupi kerana setiap aspek seperti pelan pembangunan, jumlah bilik serta struktur bangunan perlu dinilai bagi memastikan ia selamat dan mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, proses pembangunan tersebut melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) kerana kawasan berkenaan merupakan rizab hutan.

Selain itu, agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) serta Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) turut terlibat dalam proses kelulusan dan penyelarasan projek.

Sehubungan itu, Vivian telah melantik penyelaras Parlimen Sandakan, Tang Szu Ching bagi memastikan segala urusan antara pihak kerajaan dan pelabur berjalan lancar.

“Langkah ini penting supaya projek tidak terbantut akibat prosedur operasi standard (SOP) yang rumit sehingga menyebabkan pihak pelabur berputus asa,” jelasnya.

Vivian turut menyambut baik sokongan daripada Presiden MPS, Walter Kenson terhadap usaha tersebut yang dilihat mampu memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi tempatan.

Related Posts

Polis tumpas pengedaran lebih 329kg dadah bernilai hampir RM18 juta

SEMPORNA – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah lebih 329 kilogram (kg) dengan anggaran rampasan keseluruhan bernilai hampir RM18 juta dalam dua operasi berasingan di Tawau dan Semporna. Pesuruhjaya Polis…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Rohingya: Selangor selaras tindakan bersama PBT, JIM dan agensi berkaitan

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memandang serius kebimbangan orang ramai berhubung penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk komuniti etnik Rohingya di beberapa kawasan di daerah berkenaan. Menteri Besar Selangor,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis tumpas pengedaran lebih 329kg dadah bernilai hampir RM18 juta

Polis tumpas pengedaran lebih 329kg dadah bernilai hampir RM18 juta

Rohingya: Selangor selaras tindakan bersama PBT, JIM dan agensi berkaitan

Rohingya: Selangor selaras tindakan bersama PBT, JIM dan agensi berkaitan

Infantino bakal terlepas gaji lumayan

Infantino bakal terlepas gaji lumayan

Status kekosongan kerusi DUN Selangor keputusan Speaker, bukan kerajaan negeri – Amirudin

Status kekosongan kerusi DUN Selangor keputusan Speaker, bukan kerajaan negeri – Amirudin

Juruteknik didakwa pandu melulu punca tiga maut

Juruteknik didakwa pandu melulu punca tiga maut

Wanita luar bandar Telang Usan digesa rebut peluang ekonomi digital

Wanita luar bandar Telang Usan digesa rebut peluang ekonomi digital