PUTRAJAYA – Malaysia tetap terkesan dengan kenaikan harga minyak global walaupun berstatus negara pengeluar petroleum susulan struktur pasaran dan rantaian bekalan antarabangsa.
Penganalisis hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, harga minyak mentah tidak ditentukan di peringkat domestik, sebaliknya bergantung kepada penanda aras global seperti Brent crude.
Menurut beliau, pendekatan tersebut yang menjadi Malaysia sebagai penerima harga (price taker) sekali gus mengehadkan keupayaan Malaysia untuk mengawal harga secara unilateral.
“Malaysia juga mengimport sebahagian besar produk petroleum bertapis kerana kapasiti penapisan domestik tidak sepenuhnya menampung permintaan tempatan hingga menyebabkan harga runcit bahan api dalam negara masih bergantung kepada harga pasaran antarabangsa.
“Komitmen fiskal kerajaan melalui subsidi bahan api turut meningkatkan tekanan terhadap kewangan negara apabila harga minyak meningkat di samping integrasi Malaysia dalam rantaian bekalan global menyebabkan sebarang kejutan harga minyak akan memberi kesan limpahan kepada sektor lain, termasuk pengangkutan, logistik dan makanan.
“Seperti dijelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenaikan harga global akibat konflik Iran dan Israel, serta penglibatan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, akan tetap memberi kesan kepada Malaysia serta impak kegunaan domestik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri pada Ahad menjawab persoalan mengapa harga minyak di Malaysia turut terkesan walaupun kita negara pengeluar minyak.
Katanya, jawapannya bukan terletak dalam Malaysia sahaja tetapi pada perubahan dalam pasaran minyak global.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berpendapat, walaupun Petronas memperoleh hasil eksport lebih tinggi, manfaat tersebut tidak semestinya diterjemahkan menerusi keuntungan bersih, disebabkan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan margin dalam sektor hiliran, serta komitmen fiskal yang perlu dipenuhi kepada kerajaan.
Lebih penting, beliau menegaskan, kebergantungan Malaysia kepada import produk petroleum bertapis menyebabkan kenaikan harga global memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.

“Kenaikan harga bahan api akan memberi tekanan kepada inflasi domestik, khususnya dalam sektor pengangkutan dan rantaian bekalan makanan. Dalam erti kata lain, keuntungan di peringkat korporat tidak secara automatik berfungsi sebagai penampan kepada tekanan ekonomi yang dialami oleh pengguna.
“Justeru, penyelarasan harga bahan api sebagai mekanisme melindungi bekalan dan mengurangkan ketirisan adalah signifikan, namun pelaksanaan perlu dirangka secara berhati-hati. Penetapan harga bahan api seiring dengan kos sebenar pasaran adalah amat penting.
“Itu perlu bagi menjamin kestabilan bekalan, memandangkan Malaysia tidak beroperasi secara terasing daripada dinamika pasaran global selain, pendekatan subsidi bersasar wajar diperkukuh bagi memastikan golongan rentan terus dilindungi tanpa meningkatkan beban fiskal negara secara tidak terkawal,” katanya.
Sementara itu, Nur Ashikin berpendapat, usaha mempelbagaikan sumber tenaga perlu dipercepatkan melalui pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidrogen hijau bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil.
“Pada masa sama, keperluan juga untuk kerajaan mempertimbangkan pengukuhan rizab petroleum strategik sebagai langkah mitigasi terhadap kejutan bekalan jangka pendek, khususnya dalam situasi konflik geopolitik yang tidak menentu.
“Peranan Petronas sebagai penampan fiskal turut perlu dioptimumkan melalui pengurusan hasil lebih strategik. Sebahagian daripada lebihan hasil luar jangka boleh disalurkan ke dalam dana penstabilan harga atau pelaburan jangka panjang yang berimpak tinggi,” katanya.
Tambahnya, di peringkat serantau, kerjasama melalui ASEAN boleh dipertingkatkan bagi memperkukuh keselamatan tenaga, termasuk dalam aspek perkongsian stok, pelaburan bersama, serta penyelarasan tindak balas terhadap gangguan bekalan.
“Secara keseluruhannya, kelebihan Malaysia sebagai pengeluar petroleum tidak mencukupi untuk melindungi negara daripada kejutan harga global. Dalam konteks konflik Asia Barat yang sedang berlanjutan, pendekatan dasar lebih holistik dan bersepadu harus dilaksana secara pragmatik.
“Ia perlu merangkumi reformasi subsidi, penetapan harga yang responsif kepada pasaran, diversifikasi tenaga, pengukuhan rizab strategik serta kerjasama serantau adalah kritikal bagi memastikan keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara dalam jangka panjang,” katanya.






