Malaysia terdedah turun naik harga minyak global

MALAYSIA masih terdedah kepada turun naik harga minyak dunia walaupun dikenali sebagai negara pengeluar minyak dan gas, berikutan perubahan struktur pasaran tenaga global serta ketegangan geopolitik antarabangsa.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB), Azrul Osman Rani berkata, realitinya Malaysia kini berada dalam kedudukan sebagai pengimport bersih minyak mentah.

Beliau berkata, perkara itu sering disalah fahami oleh masyarakat yang beranggapan Malaysia sepatutnya tidak terkesan dengan kejutan harga minyak di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, walaupun negara masih menghasilkan minyak dan gas, struktur sebenar pasaran tenaga menyebabkan pengguna di Malaysia tetap bergantung kepada pergerakan harga di pasaran global.

Azrul menjelaskan, keadaan itu sebahagian besarnya dipengaruhi penurunan pengeluaran minyak mentah domestik sejak beberapa dekad lalu.

“Kapasiti pengeluaran minyak mentah telah berkurangan dengan peredaran masa, daripada sekitar 700,000 tong sehari pada era 1990-an dan awal 2000-an kepada cuma kira-kira 350,000 tong minyak mentah sehari pada hari ini, antara lain berpunca daripada faktor geologi dan susutnya simpanan minyak mentah dan kurangnya penemuan medan minyak baharu di luar pantai Malaysia.

“Namun begitu, dengan pertumbuhan ekonomi negara hakikatnya permintaan secara amnya jauh lebih meningkat. Situasi ini berbeza dengan penghasilan gas asli negara yang tetap stabil dan dapat dieksport dalam bentuk gas asli cecair (LNG) untuk menjana nilai tambahan,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian fasiliti penapisan minyak di Malaysia direka untuk memproses minyak mentah berat yang diimport dari Asia Barat, selain memproses minyak mentah tempatan.

“Angka kemasukan minyak mentah pada tahun lalu sahaja jelas menunjukkan kadar import minyak mentah dari sumber Asia Barat, lebih tinggi berbanding jumlah minyak mentah keluaran Malaysia yang dieksport ke luar negara,” katanya.

Azrul turut menjelaskan bahawa ketegangan geopolitik di laluan maritim strategik dunia, khususnya di Selat Hormuz, turut mempengaruhi lonjakan kos minyak mentah di pasaran global.

“Ketegangan geopolitik di laluan strategik seperti Selat Hormuz meningkatkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan tenaga global dan memberi kesan langsung kepada kos logistik,” katanya.

Beliau berkata, apabila keselamatan di laluan tersebut terjejas, fasiliti penapisan tempatan yang memerlukan bekalan minyak mentah sederhana sulfur (medium sour) berdepan kekangan kerana pilihan sumber pembekal menjadi semakin terhad.

Situasi itu memaksa industri mencari sumber bekalan alternatif yang lebih jauh, termasuk dari Afrika Barat dan Amerika Latin.

Menurutnya, perubahan laluan bekalan tersebut meningkatkan tempoh perjalanan penghantaran, sekali gus menambah kos perkapalan dan premium insurans kargo petroleum berikutan risiko geopolitik yang semakin tinggi.

Gabungan faktor logistik dan ketegangan geopolitik itu menyebabkan harga penanda aras Brent melonjak daripada sekitar AS$70 setong kepada melebihi AS$100 setong dalam tempoh sebulan kebelakangan ini.

Kenaikan harga berkenaan seterusnya memberi kesan berantai terhadap kos pengimportan petroleum ke rantau Asia, sekali gus menambah tekanan kepada struktur kos bekalan bahan api domestik di Malaysia.

Related Posts

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

KOTA KINABALU – Kebergantungan terhadap makanan haiwan import dikenal pasti sebagai punca utama isu harga ayam dan telur lebih tinggi di Sabah berbanding di Semenanjung. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengemas kini nasihat perjalanan ke rantau Asia Barat dan menggesa rakyat Malaysia termasuk jemaah haji supaya mendaftar keberadaan serta mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Inisiatif Kebun Dapur, SAMA perkukuh keterjaminan makanan Sabah – Jamawi

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Harga ayam, telur di Sabah tinggi: Kebergantungan makanan import sehingga 98% punca utama

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Sidang DUN Perlis minggu depan ditangguhkan

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Wisma Putra kemas kini nasihat perjalanan ke Asia Barat, termasuk jemaah haji

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Malaysia peroleh 785 hektar wilayah hasil pemuktamadan sempadan

Jangan guna media sosial sebar hasutan

Jangan guna media sosial sebar hasutan