
KUALA TERENGGANU – Kisah ketabahan Nur Fatini Husna, yang sedang menjalani rawatan kanser Leukemia AML di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, menarik perhatian kepimpinan tempatan.
Turut memberi perhatian dengan kisah itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.
“Walaupun terpaksa menghabiskan masa berbulan-bulan di katil hospital, Nur Fatini dilaporkan tidak pernah menjadikan keuzurannya sebagai alasan untuk mengabaikan pelajaran.
“Komitmen tinggi dipamerkan beliau dalam meneruskan sesi pembelajaran di wad hospital menjadi bukti keazaman kental seorang pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Adam Adli menambah, dalam pertemuan baru-baru ini, Nur Fatini menzahirkan impian untuk kembali pulih agar dapat kembali ke sekolah bagi mengikuti sesi pembelajaran secara formal.
“Ketabahan beliau juga teruji apabila tetap cekal meneruskan rawatan meskipun pernah berdepan dengan situasi tidak diingini sebelum ini.
“Impiannya cukup sederhana namun membawa makna yang mendalam, iaitu untuk kembali sihat bagi membolehkannya menuntut ilmu seperti rakan sebaya yang lain,” jelasnya.
Bagi memastikan kebajikan keluarga Nur Fatini terpelihara, beliau berkata,
antara inisiatif segera yang sedang diusahakan adalah sumbangan sagu hati tunai bagi meringankan beban kos sara hidup dan logistik keluarga sepanjang tempoh rawatan.
“Kita juga akan menyediakan peranti pembelajaran selain bantuan berkaitan yang diperlukan,” katanya.



