
LIMBANG – Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada sukarelawan di Limbang yang disifatkan sebagai antara kumpulan paling aktif dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di negeri ini.
Menurut beliau, penglibatan aktif para sukarelawan di bawah platform Sarawak Volunteers telah memberi impak besar kepada masyarakat setempat, khususnya melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan program pembangunan komuniti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, usaha berterusan yang digerakkan oleh para sukarelawan bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat, malah turut memupuk semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan penduduk tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun budaya.
“Saya melihat banyak program telah dilaksanakan sejak beberapa tahun ini yang melibatkan kemasyarakatan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pertubuhan seperti ini sangat penting kerana ia menjadi platform untuk masyarakat, khususnya golongan belia, menyumbang tenaga dan idea bagi membantu komuniti,” katanya semasa merasmikan majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan belia di Dewan Kampung Bunga Raya, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang itu turut menyeru golongan belia di daerah Limbang agar tampil menyertai dan mendaftar sebagai ahli Sarawak Volunteers bagi memperkukuhkan lagi gerakan sukarelawan di kawasan tersebut.
Menurutnya, penyertaan aktif golongan muda amat penting bagi memastikan lebih banyak program kebajikan dan kemasyarakatan dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Tidak kira agama, bangsa dan latar belakang, saya mengajak semua belia di Limbang untuk bersama-sama menyertai Sarawak Volunteers dan memainkan peranan dalam membantu masyarakat,” katanya lagi.
Tambah beliau, pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat akan terus dilaksanakan pada masa akan datang, khususnya di sekitar daerah Limbang.
Antara inisiatif yang bakal dianjurkan dalam masa terdekat ialah program My Gawai yang difahamkan akan turut digerakkan oleh pihak Sarawak Volunteers.
Program tersebut dijangka menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan masyarakat serta mempromosikan semangat perpaduan melalui pengisian aktiviti kebudayaan, kemasyarakatan dan kebajikan.
Dalam pada itu, Hasbi menegaskan bahawa gerakan sukarelawan seperti ini perlu terus diperkasa kerana ia mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berharap lebih ramai masyarakat, terutamanya golongan belia, akan tampil menyertai gerakan sukarelawan bagi memastikan usaha membantu komuniti dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berterusan.






