Penyertaan dalam BRICS perkasa kesejahteraan rakyat, pacu kemakmuran ekonomi

PUTRAJAYA – Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa Malaysia menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) bukanlah platform ‘mencari masalah’ dengan blok negara Barat, namun sebagai laluan yang ampuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan ekonomi mampan dan holistik.

Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Undang-Undang dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam berkata, pelbagai inisiatif pembaharuan ekonomi yang dirancang Kerajaan Madani akan dapat disegerakan dan diperkukuhkan dengan menjadi sebahagian dari anggota BRICS.

Menurutnya, penyertaan bersama BRICS dilihat penting selepas Perdana Menteri melihat kebergantungan Malaysia kepada ekonomi dan pelaburan dari Barat boleh diganggu-gugat dalam pelbagai keadaan, terutamanya berkaitan geopolitik antarabangsa.

“Oleh itu, Malaysia memerlukan alternatif untuk terus kekal memacu pembaharuan ekonomi yang rancak berjalan.Dengan keupayaan pasaran mencecah 40 peratus dari penduduk dunia, BRICS menjanjikan kemakmuran ekonomi buat negara ini.

“Pertemuan Anwar bersama Presiden Russia, Vladimir Putin penting bagi Malaysia dalam merangka strategi tepat terkait dasar luar dan pembangunan sosioekonomi negara antara Malaysia dengan kuasa besar Timur tersebut. Hubungan dagang Malaysia Rusia yang termeterai sejak 3 April 1967 sudah melebihi satu trilion dolar dan dijangka terus meningkat hasil lawatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Mizan berkata, pertemuan antara Anwar dan Putin pastinya membuka mata Amerika serta rakan sekutunya yang melihat Malaysia semakin berani mengorak langkah memperkukuh hubungan diplomatik di sebalik pelbagai isu dan sekatan yang dikenakan ke atas Russia.

“Rusia sebagai antara negara awal yang menginisiatifkan BRICS dan dilihat sebagai rakan strategik dan diplomatik yang amat diperlukan. Dunia sudah mula melihat Amerika dan Barat umumnya hanya bersifat munafik dalam mendepani pelbagai isu dan konflik dunia terutama berkait konflik Rusia-Ukraine dan Israel-Palestin.

“Imej Rusia tidak terjejas, malah semakin kukuh dengan idea BRICS yang sedang diperjuangkan di peringkat global. Barat tidak lagi menjadi rujukan ‘moral’ dalam perjuangan kepada golongan yang tertindas dan teraniaya. Segala macam resolusi dan peruntukan yang diperkenalkan Barat dilihat hanya retorik semata-mata.

“Malaysia dan negara lain melihat Rusia adalah rakan yang lebih baik berbanding Amerika dalam hal ini, satu keadaan yang tidak pernah berlaku sejak kewujudan dunia moden pasca perang dunia kedua,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, penyertaan bersama blok ekonomi kesatuan tersebut merupakan pengaturan bermanfaat yang akan mengiringi era pemindahan teknologi maju, selain perkongsian pengetahuan, penting untuk kemajuan bersama Malaysia dan negara-negara yang menyertai BRICS.

“Ketika Malaysia melangkah maju untuk menyertai BRICS, kami gembira untuk memanfaatkan kedudukan negara sebagai pusat semikonduktor serta peserta aktif dalam pasaran global.

“Keanggotaan Malaysia dalam BRICS akan mewujudkan persekitaran perdagangan yang seimbang dan saksama, selain menggalakkan infrastruktur kewangan adil, yang penting untuk pertumbuhan ekonomi global yang mampan,” katanya.

Gobalakrishnan menegaskan, ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi Asean tahun depan, penglibatan dengan BRICS adalah tepat pada masanya.

Jelasnya, penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia dari 22 hingga 24 Oktober, 2024 juga mencerminkan pendekatan proaktif negara untuk mengukuhkan kerjasama dan dialog antarabangsa.

“Malaysia bukan hanya menyertai pakatan ekonomi malah juga menjajarkan kedudukan dengan kumpulan yang mencerminkan aspirasi kita untuk ekonomi global yang lebih bersepadu dan adil.

“Kami memuji pendirian dan pendekatan terbuka kerajaan Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa, yang selari dengan aspirasi komuniti perniagaan kami,” katanya.

Related Posts

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih meneruskan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan sebelum pelaksanaan had umur 16 tahun bagi pembukaan akaun media…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

KUALA LUMPUR – Permohonan untuk mengekalkan kuota 300 liter BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa ini untuk pertimbangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Had umur 16 tahun akaun media sosial: MCMC teruskan libat urus

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

Permohonan kuota BUDI95 media dibawa ke MTEN – Fahmi

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang