
PUTRAJAYA – Usahawan dan aktivis media sosial, Saiful Nang menyatakan sokongan terhadap cadangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu yang menggalakkan rakyat menanam sendiri makanan sebagai langkah meningkatkan keterjaminan bekalan makanan negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Saiful Nang berkata, cadangan tersebut tidak wajar dipandang sinis walaupun ada pihak menjadikannya bahan jenaka di media sosial.
Menurutnya, walaupun cadangan menanam makanan sendiri mungkin tidak mampu menampung sepenuhnya keperluan sebuah keluarga, ia tetap mempunyai banyak manfaat termasuk membantu mengurangkan perbelanjaan serta memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental.
“Sehari dua ini ada yang sinis dengan saranan Pak Menteri. Pakcik rasa Menteri itu memang lucu tapi tak semua yang hanya untuk bahan jenaka. Pakcik rasa ada banyak baik daripada buruk cadangan beliau,” katanya.
Saiful berkata, berdasarkan pengalamannya mengembara ke pelbagai negara, amalan menanam makanan sendiri sebenarnya turut dipraktikkan oleh masyarakat di negara maju.
Beliau menjelaskan aktiviti berkebun juga boleh menjadi satu bentuk terapi atau healing yang membantu menenangkan fikiran, sama seperti menanam pokok bunga untuk tujuan hiasan.
“Betul, tak cukup punya makan sekeluarga kalau tanam di balkoni apartmen. Tapi faktor ‘healing’ itu juga valid, boleh guna untuk tenangkan jiwa,” katanya.
Tambah beliau, sesiapa yang mampu melaksanakan saranan tersebut digalakkan menyahut seruan berkenaan, manakala mereka yang tidak berkemampuan tidak perlu berasa terbeban.
Menurutnya lagi, aktiviti menanam tidak memerlukan kos tinggi dan boleh dilakukan secara mudah dengan menggunakan kompos daripada sisa dapur atau bahan organik.
“Menanam ini mudah kerjanya dan ringan kosnya. Pakcik menanam dulu, kerja satu jam pagi dan satu jam petang. Cukup pusingan, dia bagi pakcik makanan,” katanya.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut menyatakan sokongan secara terbuka terhadap saranan Mohamad Sabu dengan menyifatkan cadangan itu sebagai langkah yang wajar dipertimbangkan oleh masyarakat.
“Pakcik menyahut seruan Bang Mat. Bang Mat tak salah,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Sabu mencadangkan pegawai kementerian yang mempunyai tanah di rumah supaya memulakan tanaman makanan seperti cili, terung dan kucai sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan susulan konflik geopolitik global.
Cadangan itu turut dikaitkan dengan semangat Kempen Buku Hijau yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein pada tahun 1974 bagi menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri ketika negara berdepan tekanan inflasi dan kekurangan bekalan makanan pada ketika itu.




