
LAHAD DATU – Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) Lahad Datu tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang dipercayai menghina Islam dengan memijak al-Quran, menghina Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda.
Pengerusinya, Ustaz Mohammad Yunus Abu berkata, beliau mengetahui isu itu tular kira-kira pukul 9 pagi melalui tangkap layar aplikasi Threads memaparkan pemilik akaun Facebook Dickie Borneo yang menghina Islam, sebelum tampil membuat laporan polis di IPD Lahad Datu.
“Saya anggap laporan ini adalah khidmat sosial saya sebagai orang awam supaya keresahan, kemarahan dan kebencian orang ramai dapat diselesaikan oleh tindakan polis tanpa tindakan yang melampau dari persorangan atau kumpulan yang mungkin boleh mencetuskan ketegangan agama.
“Justeru, saya berharap pihak polis serta individu menyiasat dapat menangani isu ini dengan baik serta mengambil tindakan terhadap individu berkenaan di bawah seksyen 295 kanun keseksaan serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan kesalahan dibawah Enakmen agama,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP) bagi mengulas isu berkenaan, pada Khamis.
Menurut Yunus, Islam merupakan agama yang sejahtera dan isu agama perlu di serahkan kepada pihak berkuasa untuk di selesaikan kerana penyelesaian individu atau kumpulan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa dan undang-undang kemungkinan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Kita jaga keharmonian dengan memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan membuat tindakan yang terbaik.
“Semoga Dickie Borneo dapat pengajaran dalam perkara yang dia telah buat kelak.
“Dalam kepelbagaian agama dan kaum di Sabah, orang ramai juga saya harapkan dapat bertindak mengikut fikiran yang waras dan bertanya kepada mereka yang lebih mengetahui sesuatu isu.
“Jangan menggunakan emosi dan nafsu dengan terburu-buru yang dikhuatiri akan menyusahkan diri sendiri serta keluarga,” ujarnya.







