
LAHAD DATU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Lahad Datu berjaya menahan seorang lelaki bersama sebuah lori tangki disyaki terlibat dalam penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sebuah stesen pam minyak di sini, pada Selasa.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, lelaki itu ditahan dalam serbuan pukul 10.30 malam susulan maklumat awam.
“Semasa pemeriksaan, lelaki mencurigakan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki sebuah lori tangki minyak diesel jenis Nissan berwarna hitam putih dengan jalur kuning.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tangki asal lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan pam serta menggunakan satu gulung hos yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan minyak diesel dari tangki asal ke dalam muatan tangki minyak.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati pengisian minyak diesel ke dalam tangki asal lori tersebut adalah sebanyak 9,000 liter, yang mana jumlah tersebut telah melebihi had yang dibenarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Menurut Ahmad Amri, kesemua rampasan bernilai RM519,500 akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.






