KUALA LUMPUR – Sejarah yang terpahat dalam al-Quran tidak wajar dipandang ringan, sebaliknya perlu dijadikan wahana penting untuk memperbaiki kedudukan manusia, mengambil ibrah daripada pengalaman silam serta membimbing umat menghadapi cabaran semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu bersempena sambutan Nuzul Quran hari ini yang mengingatkan umat Islam terhadap kepentingan al-Quran sebagai panduan hidup.
Beliau berkata, bulan Ramadan bukan sekadar diisi dengan rutin ibadah seperti puasa, tilawah al-Quran dan solat Tarawih, malah turut mengangkat peristiwa agung penurunan wahyu yang menjadi mukjizat dengan daya transformasi luar biasa.
“Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, al-Quran bukan sekadar memenuhi maqasid penurunannya dalam memperkukuh akidah dan memuliakan insan, malah turut merakamkan misi islah melalui kisah sejarah perjuangan para rasul sebagai pedoman kepada umat.
“Moga kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah kita, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban,” katanya.






