
ALOR GAJAH – Barisan Nasional (BN) bukan sedang mencetuskan gelombang biru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya keadaan politik semasa lebih menggambarkan ‘gelombang haru-biru’ berikutan persaingan antara blok politik yang masih seimbang.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, kedudukan semasa belum menunjukkan petunjuk jelas mengenai gabungan yang bakal memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang berada di Melaka sejak hari penamaan calon, kekuatan antara blok politik yang bertanding masih seimbang dan tidak wajar mana-mana pihak membuat dakwaan awal mengenai kemenangan.
“Sejak hari penamaan calon, saya berada di Melaka kerana berkempen untuk calon saya. Saya melihat keadaan sekarang masih belum jelas dan tidak boleh BN mendakwa gelombang biru mereka akan menang. Itu hanya satu persepsi dalam kempen publisiti.
“Pada saya, keadaan sekarang 50-50. Kekuatan kedua-dua blok nampak seimbang. Jadi, keputusan PRN ini belum dapat dipastikan sama ada memihak kepada PH atau BN bersama Pas,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).
Pada PRN Melaka kali ini, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN di 23 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) di lima kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi dipertandingkan.
Ibrahim berkata, pemerhatiannya terhadap liputan media dan media sosial sepanjang tempoh berkempen juga mendapati perhatian lebih banyak diberikan kepada pemimpin serta calon BN.
Beliau turut menjangkakan keputusan pilihan raya itu berkemungkinan menyaksikan perbezaan kerusi yang tipis antara blok bertanding, sekali gus membuka ruang kepada rundingan bagi menentukan pembentukan kerajaan negeri.
Katanya, landskap politik ketika ini juga berbeza berbanding dahulu apabila pembentukan kerajaan tidak semestinya bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi sesebuah gabungan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sokongan wakil rakyat bagi memperoleh majoriti.
“Jadi, saya rasa keputusan nanti mungkin tidak jauh bezanya. Mungkin satu blok dapat 14, satu blok dapat 13, mungkin juga Putra boleh menang satu kerusi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan gambaran gelombang biru yang dibawa BN sebagai sesuatu yang boleh mengelirukan rakyat sekiranya diterima tanpa menilai keadaan sebenar persaingan politik.
“Gelombang biru ini sebenarnya gelombang apa? Pada saya, ia bukan gelombang biru tetapi gelombang haru-biru. Kalau rakyat ikut juga, rakyat betul-betul haru-biru,” katanya.
Dalam PRN kali ini, Putra turut meletakkan seorang calon di DUN N07 Gadek, iaitu Laila Norinda Maon, 49, yang berdepan pertandingan empat penjuru menentang calon PH, K Jegasilan, BN, S Nadarajah dan Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Laveen.


