
KAPIT – Kerajaan membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan kemudahan pengangkutan luar bandar di Bahagian Kapit menerusi pelaksanaan projek kemudahan pendaratan feri baharu di Nanga Tulie, Batang Rajang.
Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu bakal memberi impak positif yang menyeluruh, khususnya dalam aspek mobiliti, sosial dan sosioekonomi penduduk setempat.
“Apabila siap kelak, perkhidmatan feri ini mampu menampung kapasiti sehingga 24 buah kenderaan pada satu-satu masa.
“Ini pastinya akan menjadikan urusan perjalanan merentas sungai jauh lebih selesa, selamat dan efisien buat rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pecah tanah projek Cadangan Operasi Feri 24-Kenderaan di persimpangan Nanga Tulie pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Alexander memberitahu, inisiatif infrastruktur berkenaan bukan sahaja melancarkan pergerakan harian, malah dijangka menjadi pemangkin kepada kerancakan aktiviti ekonomi penduduk tempatan.
Jelas beliau, kemudahan itu akan mempermudahkan lagi urusan logistik penghantaran barangan, pemasaran hasil pertanian serta kelancaran rantaian keperluan harian masyarakat di kawasan sekitar.
Secara keseluruhan, kemudahan feri tersebut bakal memberi kemudahan dan manfaat langsung kepada penghuni di 33 buah rumah panjang yang terletak di kawasan berdekatan.
Selain itu, ia turut mewujudkan akses perhubungan yang lebih mudah dan pantas untuk pelajar, ibu bapa serta pendidik di dua buah sekolah berhampiran, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Encheremin dan SK Ulu Pelagus.
Foto: Facebook Nicholas Kudi N64 Baleh





