BEBERAPA bulan kebelakangan ini hampir setiap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sekadar dikritik, tetapi dipotong, dibingkai semula dan dipindah ubah konteksnya.
Baru-baru ini misalnya, ucapan Tahun Baharu Cina ditarik ke polemik identiti. Isu pentadbiran pihak berkuasa tempatan dilabel sebagai kegagalan pusat. Episod lama seperti kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki diangkat semula dalam suasana politik baharu. Bahkan, rakaman santai di media sosial bersama cucu turut dijadikan simbol kelemahan mentadbir negara.
Apabila setiap detik peribadi dan setiap frasa awam diperlakukan sebagai bahan membina persepsi negatif, ia bukan lagi kebetulan komunikasi. Polanya terlalu konsisten untuk dianggap spontan. Ia mempunyai ciri-ciri strategi komunikasi politik yang sistematik.
Dalam demokrasi matang, pertembungan sepatutnya berlaku di gelanggang dasar berkenaan ekonomi, fiskal, pendidikan, pelaburan dan kebajikan. Ketika kerajaan menonjolkan reformasi institusi dan kerangka Malaysia MADANI, perdebatan dialihkan ke medan agama, etnik dan identiti tanpa perlu hujah teknikal.
Dalam teori komunikasi politik, strategi ini bergerak dalam tiga lapisan. Pertama, ‘decontextualisation’ berlaku apabila kenyataan dipotong daripada konteks asal. Kedua, ‘moral reframing’ di mana isu pentadbiran ditukar menjadi persoalan moral atau kesetiaan identiti. Seterusnya ‘repetition saturation’, iaitu pengulangan yang berterusan sehingga persepsi menggantikan fakta.
Persepsi tidak memerlukan bukti lengkap. Ia hanya memerlukan konsistensi pengulangan.
Inilah juga yang dikenali sebagai strategi melemahkan jenama, atau ‘kill the brand’, dalam bahasa komunikasi politik kontemporari.
Dalam konteks ini, jenamanya ialah Anwar; produknya ialah gagasan MADANI.
Jika jenama dilemahkan, segala dasar akan kehilangan kredibiliti sebelum sempat dinilai. Jika imej kepimpinan dipersoalkan secara konsisten, pencapaian institusi akan kelihatan rapuh walaupun angka menunjukkan sebaliknya.
Tidak menghairankan apabila laporan media antarabangsa seperti Bloomberg turut dipetik dan digandakan dalam perdebatan domestik. Ia memberi lapisan legitimasi tambahan kepada naratif yang sedang dibina. Soalnya bukan sama ada tafsirannya adil atau tidak, tetapi bagaimana ia dimanfaatkan untuk menguatkan persepsi krisis.
Dari sudut matematik politik, kerajaan masih memiliki kelebihan angka di Dewan Rakyat. Tetapi dalam era media sosial, legitimasi tidak lagi diukur semata-mata melalui majoriti kerusi. Sebaliknya, satu klip video boleh mencipta gambaran krisis. Satu potongan ucapan boleh membina ilusi kecelaruan. Dalam ruang digital, konsistensi persepsi sering mengatasi konsistensi dasar.
Di sinilah bahaya ilusi kelemahan. Apabila sesuatu kerajaan digambarkan sentiasa defensif, sentiasa menjawab tuduhan, sentiasa ‘dalam krisis’, maka imej kestabilan akan terhakis walaupun struktur politiknya stabil, kerana apabila ilusi diulang tanpa henti, akhirnya ia berfungsi seperti realiti.
Melihat senario ini, menuju PRU16 akan datang, pertarungan mungkin bukan lagi tentang manifesto semata-mata. Ia akan menjadi pertarungan naratif tentang model negara.
Naratif pertama: pembinaan negara secara bertahap, reformasi institusi, kestabilan fiskal dan pengurusan kepelbagaian secara inklusif.
Naratif kedua: ketidakpercayaan berterusan terhadap watak kepimpinan, dibingkai melalui sentimen identiti dan keresahan moral.
Jika PRU16 berubah menjadi referendum emosi, implikasinya jauh melampaui individu.
Pelabur biasanya menilai kestabilan naratif sebelum menilai angka. Reformasi institusi memerlukan kesinambungan politik, bukan perubahan mendadak setiap kitaran pilihan raya. Pembinaan negara bangsa memerlukan kepercayaan rentas kaum dan agama, bukan mobilisasi sentimen jangka pendek.
Politik yang digerakkan sepenuhnya oleh emosi mungkin memberi kemenangan cepat, tetapi ia jarang menghasilkan kestabilan jangka panjang. Negara boleh terperangkap dalam kitaran polarisasi perubahan dasar dan keyakinan terhadap institusi yang semakin menipis.
Demokrasi jarang runtuh secara dramatik. Ia melemah perlahan-lahan, terutama apabila persepsi menggantikan fakta, apabila emosi mengatasi rasional, dan apabila kepercayaan terhadap institusi terhakis sedikit demi sedikit.
Malaysia pasca PRU15 sedang melalui fasa rapuh tetapi penting. Era politik koalisi menuntut disiplin dan kematangan daripada semua pihak. Meskipun persaingan kuasa itu sihat namun, delegitimasi berterusan terhadap sistem dan menganggap setiap dasar sebagai helah dan setiap institusi sebagai tidak sah, hanya akan menghakis asas negara itu sendiri.
Negara bangsa tidak dibina atas sentimen yang dipanaskan setiap musim pilihan raya semata-mata. Ia dibina atas kesinambungan, kestabilan dan keyakinan bahawa sistem ini, walau tidak sempurna, tetap boleh berfungsi.
Jika menjelang PRU16 politik terus digerakkan terutama oleh mobilisasi emosi dan pembingkaian sentimen, kita berisiko melahirkan demokrasi yang lebih bising tetapi kurang matang. Dan dalam demokrasi yang terlalu bising, yang paling cepat hilang bukan kuasa, sebaliknya kebijaksanaan. Akhirnya, jenis politik apa yang sedang dan yang mahu kita wariskan kepada negara ini?
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






