PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan beliau masih belum menerima laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, setakat ini.
Bagaimanapun, beliau berkata laporan daripada jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, itu dijangka diterimanya hari ini.
“Itu yang saya tunggu, katanya (serah laporan) hari ini. (Setakat ini) belum terima (laporan berkenaan),” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ihya Ramadan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.Anwar berkata, sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas laporan berkenaan diterima.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan serta perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Langkah itu diambil susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang medianya baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.






