PUTRAJAYA – Gerakan menggunakan saluran media dan lobi luar negara untuk memberi tekanan terhadap institusi penguatkuasaan bukan lagi isu kebebasan bersuara semata-mata, namun menyentuh kedaulatan undang-undang, keselamatan serta integriti sistem penguatkuasaan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berpandangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya dijadikan sasaran campur tangan pihak luar dalam melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Menurut beliau, tekanan luar yang dibina melalui naratif media antarabangsa berpotensi mewujudkan persepsi tidak seimbang sekali gus menggugat keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan.
“MCW melihat bahawa sebahagian tekanan ke atas SPRM mutakhir ini mungkin berkait dengan naratif yang sedang dibina di luar sistem perundangan negara.
“Justeru, kita menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan tanpa spekulasi, sebagaimana dinasihatkan dalam kenyataan rasmi.
“Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak sama ada dari dalam atau luar negara memanipulasi naratif untuk melemahkan institusi negara demi kepentingan peribadi,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud gerakan terancang yang didakwa bertujuan mempertikai kerajaan sedia ada, susulan siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan SPRM.
Anwar yang memaklumkan perkara itu ketika Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat, pada Selasa berkata, siasatan awal mendapati rancangan berkenaan telah dirangka sejak Ogos tahun lalu dengan garis masa sehingga pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, perancangan itu melibatkan dana besar, didukung warga tempatan dan disusun dengan strategi untuk mempertikai usaha kerajaan, termasuk melalui platform antarabangsa.
Mengulas lanjut, Jais memaklumkan, integriti negara mesti dipertahankan melalui proses undang-undang serta mekanisme semak imbang yang tersedia, bukan melalui tekanan mahupun persepsi.

Beliau menyeru supaya perbezaan jelas dibuat antara kritikan sah yang berasaskan fakta dan proses undang-undang dengan usaha terancang melibatkan pihak asing dalam mempengaruhi atau menjatuhkan institusi negara.
“Siasatan polis tidak wajar dipolitikkan. Apabila terdapat laporan polis dibuat, pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menyiasat. Kewajipan ini tidak boleh dianggap sebagai tindakan menutup mulut pengkritik, sebaliknya ia adalah proses biasa dalam sistem keadilan jenayah.
“MCW konsisten dengan prinsip keadilan, tiada siapa kebal, tiada siapa didahului hukuman. Jika ada salah laku, siasat dan dakwa. Jika tiada bukti kukuh, bersihkan nama secara adil. Tekanan media atau persepsi awam tidak boleh menggantikan proses pembuktian di mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, Jais menasihatkan agar semua pihak memberi ruang kepada PDRM melengkapkan siasatan tanpa spekulasi serta mengurangkan tekanan tidak berasas terhadap SPRM.
“Siasatan masih berjalan dan semua pihak berhak mendapat proses yang adil. Sebagai NGO integriti, MCW menyokong sepenuhnya ketelusan siasatan, profesionalisme PDRM, kebebasan institusi penguatkuasaan dan kedaulatan undang-undang negara.
“MCW berpandangan bahawa tindakan siasatan (cubaan menjatuhkan kerajaan) adalah selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) dan bukan suatu tindakan politik. Sekiranya benar, adalah serius dan memerlukan penelitian rapi oleh pihak berkuasa,” katanya.







