
MIRI – Lima individu termasuk seorang wanita dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Miri pada 26 Februari lalu selepas didapati melanggar syarat perintah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri.
Menurut kenyataan AADK Miri, kesemua tertuduh berusia antara 24 hingga 47 tahun yang merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) itu mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan majistret.
“Mereka didapati gagal mematuhi syarat pengawasan dengan tidak menghadiri program yang diwajibkan sepanjang tempoh pemantauan tersebut.
“Pematuhan terhadap syarat ini amat penting bagi membantu proses pemulihan dan reintegrasi mereka ke pangkuan masyarakat,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang OKP lelaki berusia 41 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan di Pejabat AADK Daerah Miri.
Jelas kenyataan itu, lelaki berkenaan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana menagih semula dalam tempoh pengawasan.
Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas tertuduh.
Dalam pada itu, AADK menegaskan bahawa perintah pengawasan bukan sahaja satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan, malah ia merupakan peluang keemasan untuk individu terbabit kembali membina kehidupan baharu tanpa najis dadah.
Tegas agensi berkenaan, semua klien yang sedang menjalani Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) diingatkan untuk mematuhi syarat pengawasan secara total.
“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan boleh mengundang tindakan mahkamah, termasuk berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau sebatan tidak melebihi tiga kali, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu lagi.
Foto: Facebook AADK Daerah Miri Sarawak

