Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Asia Barat

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar akan terus mempertingkat pemantauan terhadap perkembangan keselamatan dan situasi perjalanan yang tidak menentu di Asia Barat selain mengekalkan koordinasi rapat dengan semua perwakilan diplomatik negara di rantau berkenaan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kementerian itu.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak mustahak ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

“Nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan Kementerian Luar kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa di Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengumumkan pembukaan laluan udara selamat yang ditetapkan susulan perkembangan terkini.

Pada masa sama, Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan penyambungan semula sementara penerbangan ke dan dari Jeddah serta Madinah bagi tempoh hari ini hingga Ahad.

“Kita mengambil maklum perkembangan ini, sementara perwakilan diplomatik Malaysia terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan serta rakan operasi bagi menyokong rakyat kita yang terjejas akibat gangguan perjalanan berterusan,” katanya.

Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai kini giat menghubungi rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan penerbangan, khususnya mereka yang masih menunggu penerbangan susulan.

“Susulan pengumuman mengenai laluan udara selamat itu, perwakilan kami sedang berurusan dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan operasi bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan serta memudahkan perjalanan seterusnya secara teratur apabila keadaan mengizinkan.

“Pegawai konsular turut meneruskan penilaian kebajikan dan keperluan berasaskan situasi dengan keutamaan diberi kepada mereka yang mengalami tempoh transit berpanjangan atau berdepan pengaturan penginapan bersifat sementara,” katanya.

Di Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah terus memantau situasi membabitkan jemaah umrah Malaysia yang terjejas berikutan gangguan perjalanan.

“Pegawai konsular kekal berhubung dengan pihak berkaitan bagi menyokong pengaturan kebajikan sementara sambil memantau perkembangan berkaitan penyambungan semula operasi penerbangan komersial membabitkan Jeddah dan Madinah secara berperingkat.

“Perwakilan diplomatik Malaysia di Oman, Qatar dan Bahrain turut memantau rakyat Malaysia yang terjejas akibat gangguan ruang udara serantau termasuk mereka yang berada dalam transit atau menunggu pengaturan perjalanan baharu.

“Pegawai konsular kekal berhubung dengan rakyat Malaysia yang berdaftar dan menyalurkan panduan konsular serta semakan kebajikan mengikut keperluan,” katanya.

Bagi negara lain yang terkesan termasuk Iran, Iraq, Lubnan, Jordan dan Syria, perwakilan Malaysia sentiasa memastikan komunikasi berterusan dengan rakyat Malaysia yang berdaftar termasuk penuntut.

“Rakyat Malaysia yang sudah berkomunikasi dengan perwakilan dilaporkan selamat dan dinasihatkan terus berwaspada serta mematuhi panduan pihak berkuasa tempatan.

“Kita terus mengemas kini rekod rakyat Malaysia di rantau terjejas melalui sistem e-Konsular dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memantau kebajikan pelajar kita,” katanya.

Orang ramai yang belum mendaftarkan keberadaan masing-masing digesa berbuat demikian melalui sistem e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular perlu menghubungi perwakilan diplomatik Malaysia terdekat melalui nombor telefon dan alamat e-mel rasmi yang disediakan sebelum ini.

“Bilik operasi Wisma Putra di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan beroperasi 24 jam sehari dan boleh dihubungi di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my jika bantuan lanjut diperlukan,” katanya.

Related Posts

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

MIRI – Kesemua lima individu yang menaiki helikopter berdaftar 9M-LLF ditemukan maut di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH
  • AdenAden
  • September 9, 2026

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan Tabung Haji (TH) termasuk bekas pengerusinya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pameran Hari Malaysia 2026 platform penting tangkis manipulasi fakta sejarah

Pameran Hari Malaysia 2026 platform penting tangkis manipulasi fakta sejarah

Hutang Terengganu turun, tetapi siapa yang membayarnya?

Hutang Terengganu turun, tetapi siapa yang membayarnya?

PH cakap rasuah, UMNO jawab soal Raja – AMK

PH cakap rasuah, UMNO jawab soal Raja – AMK

NRES jamin aspek adaptasi tidak diketepikan dalam RUU Perubahan Iklim Negara

NRES jamin aspek adaptasi tidak diketepikan dalam RUU Perubahan Iklim Negara

Pasangan kekasih positif dadah ditahan selepas bergaduh

Pasangan kekasih positif dadah ditahan selepas bergaduh

90 ketua cawangan Kangar tinggalkan Bersatu

90 ketua cawangan Kangar tinggalkan Bersatu