KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bersetuju mengadakan pertemuan dalam masa terdekat untuk memperkukuh hubungan antara dua negara berjiran yang sekian lama terjalin atas semangat persaudaraan dan kerjasama strategik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui ketika panggilan telefon dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto semalam.
“Sewaktu panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini, kami sempat bertanya khabar serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan serantau.
“Kami juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi terus memperkukuh hubungan erat antara dua negara berjiran yang sekian lama terjalin atas semangat persaudaraan dan kerjasama strategik,” kata Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook
Untuk rekod, kali terakhir kedua pemimpin itu bertemu adalah 29 Julai lalu di Jakarta.
Agenda utama pertemuan itu adalah Konsultasi Tahunan ke-13 antara Indonesia dan Malaysia yang menjadi tradisi sejak 2004.
Konsultasi Tahunan ini adalah yang pertama antara Anwar dengan Presiden Indonesia.
Kali terakhir Konsultasi Tahunan diadakan pada 2017.
Pertemuan itu adalah yang keenam sejak Prabowo dilantik sebagai Presiden Indonesia.






