
SANDAKAN – Tiga buah rumah dan tiga kedai runcit jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku di Kampung (Kg) Bukit Nenas, Karamunting, awal pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.01 pagi dan tiba di lokasi pada pukul 3.14 pagi.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan bantuan 14 anggota BBP Sandakan dan tiga anggota Bomba Komuniti Kg Bokara, menggunakan lima buah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 13 kilometer (km) dari balai.
“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 90×150 kaki dan sebuah motosikal Yamaha Y16 turut terbakar.

“Pasukan bomba menggunakan satu aliran 800 kaki dua pancutan dari jentera serta water tanker untuk memadamkan api,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Beliau menambah, operasi kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 6.31 pagi tanpa sebarang mangsa dilaporkan.
Seramai 350 buah rumah berhampiran berjaya diselamatkan daripada musnah.
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Electricity.






